RANTAU PANJANG – “Seramai-ramai penumpang dalam bas, anak saya jadi mangsa dalam kemalangan itu, saya reda,” kata Jalaludin Ismail, 56, bapa kepada mangsa kemalangan, Munzirah Jalaludin, 20.

Jalaludin berkata, dia masih tergambar lampaian terakhir anak bongsu daripada tiga beradik itu ketika menaiki bas ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar.

Menurutnya, dia mengetahui kejadian itu ketika mengajar di Maahad Muhammadi Rantau Panjang oleh salah seorang penyarah UiTM.

“Tak cukup nafas, tak cukup laju nak lari, semuanya serba tak kena sebab saya tak dapat nak hilangkan perasaan yang bermain dalam fikiran.

“Belumpun sampai di tempat kejadian, saya sekali lagi dikejutkan dengan berita kematiannya,” katanya.

Jalaludin berkata, Munzirah merupakan penuntut semester akhir jurusan Diploma Pengurusan Hartanah dan sepatutnya tamat pengajian dalam masa beberapa bulan.

Katanya, dia bersyukur kerana Tuhan memberi masa kepada mereka untuk meluangkan masa bersama selama tiga bulan, sempena cuti semester lalu.

Munzirah merupakan salah seorang daripada dua mangsa yang maut sementara 36 penumpang lain cedera, selepas bas ekpres yang dinaiki terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Ipoh-Lumut berhadapan Batu Gajah Perdana, jam 5 pagi, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas dua tingkat membawa 37 penumpang terbabit melanggar pembahagi jalan.