GUA Sejuk, sesejuk udara dan suhunya. Ia bukanlah kawasan asing kerana terletak di laluan utama dari Gua Musang ke Kuala Krai.

Mengapa digelar Gua Sejuk? Melintasi laluan di sepanjang Kilometer 21 hingga 23, Jalan Gua Musang- Kuala Krai, cubalah rasai kedinginannya yang dikelilingi gua dan hutan belantara.

Dilitupi gua batu kapur, bukan sahaja nyaman dan sejuk, malah ia melahirkan perasaan yang berbeza. Redup, sunyi dan seram.

Selain kawasan Kampung Sungai Lakit, Gua Sejuk merupakan salah satu ‘laluan berdarah’ di mana sering berlaku kemalangan di kawasan tersebut.

Kelmarin, hanya selang seminggu dengan kes kemalangan maut melibatkan seorang kerani bank, Gua Sejuk ‘meratah’ darah lagi.

Kemalangan maut di sini sering dikaitkan dengan kejadian pelik.

Hasil siasatan awal, kedua-dua kes berkenaan adalah berpunca daripada kegagalan memotong dan menyebabkan pertembungan antara kenderaan di laluan bertentangan.

Bagaimanapun, ketika anggota bomba dalam proses mengeluarkan mangsa tersepit kelmarin, sekeping foto dirakam menampakkan sosok kanak-kanak berambut pendek di bahagian cermin sisi kenderaan terbabit.

"Hairan kerana tiada kanak-kanak di lokasi kemalangan itu," kata Ketua Operasi Bomba, Awang Mamat.

Menyingkap tragedi di sini, pada 2009, peristiwa yang terus menghantui pengguna laluan adalah nahas jalan raya yang meragut 10 nyawa di kawasan berhampiran Gua Sejuk.

Rentetan dari tragedi itu, laluan berkenaan seakan ‘dahaga darah’ sehingga hampir setiap tahun malah selang beberapa bulan sahaja, pasti ada kemalangan yang meragut nyawa.

‘Meme tepat dio doh’. Sebut sahaja kemalangan di Gua Sejuk, itulah ayat yang sering terpacul di mulut masyarakat setempat.

Ada yang mendakwa, mengikut kepercayaan nenek moyang mereka, Gua Sejuk dijadikan penempatan makhluk halus kerana jajahan ini adalah tanah hutan.

Kononnya, kawasan berkenaan ‘dijaga’ seorang ketua bernama ‘Tok Fakir’ sejak lebih 600 tahun lalu dan dikawal seekor kucing bermata hijau serta ular besar.

Wanita kenit dengan anak

Penulis menyantuni seorang warga Thailand yang pernah mendiami kaki gua berkenaan dan memberitahu sememangnya ada ‘penunggu’ di gua berkenaan.

Menurut Alias Awang, 38, yang berasal dari Pattani, dia pernah tinggal dikaki gua berkenaan selama setahun kerana ditugaskan menjaga ladang sawit di kawasan berkenaan.

“Saya tinggal di situ pada 2012 hingga 2013 dalam sebuah bangsal yang majikan saya bina sebagai tempat berteduh. Memang betul, ia dijaga penunggu iaitu seorang wanita kenit bersama anaknya.

“Dua hari saya di sana, ‘dia’ datang membuka kunci bangsal ketika saya sedang tidur. Tapi, sepanjang saya berada di situ, dia tidak pernah mengacau.

Ini laluan yang sering dikatakan mistik oleh penduduk sekitar.

“Malah, saya yakin, mereka berdua hanya menjaga gua dan tidak ada kaitan dengan gangguan di laluan utama. Gangguan itu disebabkan makhluk lain,” katanya lagi.

Tambah Alias, semasa berada di gua itu, dia turut memelihara enam ekor anjing kerana haiwan berkenaan boleh mengesan kedatangan makhluk halus.

“Saya juga pernah bertapa di gua itu bersama rakan selama sehari. Tiada apa yang berlaku cuma kita dapat rasakan gua itu berpenunggu dan sebarang kerja-kerja yang bertujuan meraih keuntungan tidak akan dibenarkan.

“Setiap gua semestinya ada pintu masuk, tetapi Gua Sejuk tiada. Orang hanya boleh memanjat sahaja, tetapi tidak dapat masuk ke dalam.

“Selain ‘dua beranak’ itu, ada binatang buas seperti harimau bintang dan gajah. Selebihnya, saya tidak pernah jumpa,” katanya.

Jumpa dua beranak dalam mimpi

Penulis cuba meyakinkan penjelasan Alias dengan mendapatkan peneroka dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap B, Md Hapipi Mohamad.

Hapipi

Antara penempatan yang paling dekat dengan Gua Sejuk, warga emas berusia 72 tahun itu memberitahu perkara yang sama iaitu kewujudan ‘dua beranak’ terbabit.

Katanya, di alam nyata, dia tidak pernah berjumpa dengan makhluk berkenaan namun, pertemuan itu dizahirkan dalam bentuk mimpi.

“Saya mempunyai kebun durian berhampiran Gua Sejuk. Dalam mimpi berkenaan, saya sedang menebas semak samun di kebun.

“Kemudian, saya dengar bunyi kambing dan saya mendukung kambing itu. Kemudian, datang dua beranak berkenaan berjalan menuju ke arah saya.

“Apabila dia semakin dekat, ia semakin hilang dan saya tersedar. Sebelum ini, memang ada rakan-rakan memberitahu gua itu dijaga wanita dan anaknya,” jelasnya.

Tambah Hapipi, Gua Sejuk terbentuk di sepanjang jalan iaitu dua kilometer dimana struktur utama berada di hadapan laluan dan bercantum dengan beberapa struktur di belakang.

 Budak melintas jalan

Bagi penjawat awam, Mohd Zawawi Yusoff, peristiwa diganggu makhluk halus di laluan berkenaan menyebabkan anaknya serik untuk melintasi kawasan itu di waktu malam.

“Anak saya berseorangan dan tiba di laluan Gua Sejuk lebih kurang jam 1 pagi. Dia nampak seorang budak melintas jalan sedangkan tiada penempatan atau kampung di kawasan itu.

“Kemudian, ada suara mengilai dari atas bumbung kereta. Dia meneruskan perjalanan dan sampai di rumah, baharulah dia beritahu kejadian itu," katanya.

ANTARA KES KEMALANGAN MAUT

28 Disember 2008

Dua beradik maut dalam kemalangan yang berlaku berhampiran Gua Sejuk.

2 Januari 2009

10 maut iaitu melibatkan dua keluarga apabila tiga kenderaan terlibat dalam kemalangan.

18 Ogos 2013

Seorang maut lima parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Gua Musang -Kuala Krai.

5 September 2015

Dua maut tiga parah di Kilometer 21, Jalan Gua Musang - Kuala Krai.

23 Januari 2016

Enam maut termasuk tiga kanak-kanak dalam kemalangan berhampiran Gua Sejuk.

26 Ogos 2018

Seorang wanita maut selepas kenderaan yang dinaiki bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 23, Jalan Gua Musang - Kuala Krai.

4 September 2018

Seorang maut apabila kenderaan yang dinaiki gagal memotong pacuan empat roda di laluan bertentangan.