MACHANG - Penderitaan pesakit barah otak, Mohd Yasin Mat Said, 39 yang tinggal di Kampung Gelung Gajah, mendapat perhatian  sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial (KELSS), di sini, semalam.

KELSS bertindak mengumpul dana bagi membantu Mohd Yasin mendapatkan susu khas yang disyorkan oleh doktor dan juga lampin pakai buang bagi meringankan beban keluarganya  yang  tidak mempunyai pendapatan tetap.

Mohd Yassin disahkan menghidap barah otak selepas dua tahun mengalami sakit kepala namun tidak mendapatkan rawatan di hospital sehinggalah Februari lalu.

Doktor mengesahkan dia menghidap penyakit barah otak tahap empat dan memerlukan pembedahan segera namun terlantar dan tidak boleh bercakap selepas menjalani tiga pembedahan akibat penyakit tersebut.

Ibunya, Ramelah Mat San, 65 berkata, anak ketiganya itu masih bujang dan tinggal bersama mereka  sejak dua tahun lalu apabila dia tidak mampu bekerja akibat sakit kepala yang berterusan.

Katanya, Mohd Yasin sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Pahang dan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung selepas sering sakit.

Tambahnya, pada mulanya mereka menganggap sakit kepala yang berterusan itu sakit kepala biasa namun sebaliknya berlaku apabila Mohd Yasin pergi mendapatkan rawatan di Hospital.

“Selepas terlantar, doktor nasihatkan kami beri dia susu khas, Ensure namun mak cik yang bergantung hidup kepada pendapatan menoreh getah tidak mampu mengusahakanya.

“Lagipun, selepas dia sakit , mak cik terpaksa berhenti menoreh bagi menjaganya. Mujurlah dia mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat selepas beberapa bulan terlantar bagi menampung sedikit keperluannya. Mak cik hanya mampu bagi dia milo  bagi meneruskan kelangsungan hidupnya,” katanya.

Tambah Ramelah, sekalipun telah keluar dari hospital namun Mohd Yassin masih memerlukan penjagaan rapi daripadanya  selain suaminya  juga mengalami masalah kesihatan selepas terlibat kemalangan, Mei lalu.

Sementara itu, Ketua Unit Media KELSS, Akidi Hamid berkata, pihaknya melancarkan kutipan dana selama empat hari bagi membantu meringankan beban keluarga Mohd Yasin menyediakan keperluan hariannya terutamanya susu khas.

Katanya, dia berterima kasih kepada pihak yang menjayakan tabung tersebut dan berjaya mengumpulkan RM4,700.

Tambahnya, wang tersebut digunakan bagi membekalkan susu Ensure dan lampin pakai buang selama empat bulan kepada Mohd Yassin serta sumbangan wang tunai bagi mambantu mereka mengharungi saat-saat sukar itu.