TANAH MERAH - Niat untuk membantu golongan ibu tunggal menjana pendapatan bermula selepas melihat kegiatan ekonomi merudum ekoran peristiwa bah kuning empat tahun lalu.

Atas usaha itu, Norizan Mukhtar, 50, mula memperkenalkan kursus pembuatan bongkah dan penanaman cendawan (kulat sisir) jenis Tiram dan Melati kepada ibu tunggal yang rata-ratanya masih mempunyai tanggungan.

Norizan atau lebih dikenali sebagai Kak Zan berkata, sebagai Pengerusi Koperasi Niaga Bendang Nyior, beliau amat menitik beratkan kebajikan golongan ibu tunggal yang tidak bekerja dan mempunyai pendapatan tetap.

“Atas kesedaran itu, saya mula mengorak langkah memohon kelulusan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk menubuhkan koperasi ini.

“Alhamdulillah akhirnya Koperasi Niaga Bendang Nyior Berhad berjaya ditubuhkan dan melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) kami mencari peluang untuk membantu golongan ibu tunggal ini dengan menganjurkan kursus dalam bidang pertanian khususnya tanaman kulat,” katanya.

Norizan berkata, penubuhan koperasi itu juga sebenarnya memberi peluang kepada peserta supaya lebih yakin dan berdaya saing dalam usaha meningkatkan diri dan memperoleh pendapatan sendiri.

“Kita tawarkan kepada ahli ini tanpa suntikan modal dan dananya dibiayai kerajaan. Alhamdulillah setakat ini, ia memberi keuntungan. Peserta juga mempunyai keuntungan apabila menyimpan dalam saham koperasi hasil usaha tanaman kulat.

“Begitu juga dari segi kemajuan koperasi, ada pihak yang sudi membantu memajukannya dan melalui sumbangan itulah saya dapat memajukan projek tanaman kulat sisir jenis Tiram dan Melati ke peringkat lebih baik,” katanya.

Norizan kanan) memantau peserta projek tanaman kulat sisir.

Setelah empat tahun mengusahakan tanaman kulat sisir, Norizan kini sudah mampu memberi taklimat dan mengadakan kursus di merata tempat.

“Usaha kami ini turut disokong Fatisha Agro Farm Terengganu dan kami beli bongkah untuk tanaman kulat dari pemiliknya.

“Untuk mendapatkan ilmu, kita perlu berani melangkah ke hadapan. Maka atas semangat daya saing, saya turut belajar membuat bongkah untuk tanaman kulat ini secara sendiri pada tahun ini.

“Melalui kursus siri tiga yang dijalankan dengan 60 peserta, kami berjaya menyediakan 500 bongkah kulat sisir pada permulaan dan sehingga kini 1,200 bongkah dihasilkan dalam masa sebulan,” katanya.

Norizan berkata, permintaan terhadap kulat sisir juga sangat memberangsangkan bukan sahaja dari Kelantan, malah luar termasuk Sabah dan Sarawak.

“Apa pun saya amat bersyukur di atas kejayaan ini dan berharap usaha ini akan terus mendapat sambutan bukan sahaja untuk memajukan industri tanaman kulat sisir malah membantu golongan ibu tunggal yang tidak mempunyai pendapatan sendiri,” sendiri.