JELI - Pemuda OKU yang dilapor hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Panglima Bayu Isnin lalu, ditemui tidak bermaya di ladang kelapa sawit Kemahang 3, Tanah Merah, kira- kira 10 kilometer dari rumahnya di sini, semalam.

Ibu mangsa, Che Minah Daud, 74, berkata, anaknya, Haskullisham Muhammad, 32, yang dipanggil Ku Li itu ditemui seorang kenalan yang kebetulan ke lokasi berkenaan untuk memikat burung.

"Dia dihantar hingga ke halaman rumah oleh kenalan kami yang menemuinya pagi semalam, sedih melihat keadaannya yang tidak berbaju, keletihan dan kaki dipenuhi lumpur.

"Mujur ALLAH gerak hati pemikat burung itu juga. Menurutnya dia tak pernah keluar memikat burung selain hari Jumaat, tapi semalam dia ke sana sebelum menemui Ku Li dan menghantarnya pulang," katanya kepada media ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Che Minah berkata, hanya Tuhan yang tahu perasaannya ketika itu selepas melihat susuk tubuh anak yang dicari hampir seminggu itu ada di depan mata pagi semalam.

"ALLAH nak uji kami, nak tahu tahap kesabaran kami, Dia lebih tahu segala- galanya, Ku Li balik ni pun dah cukup melegakan kami," katanya.

Mengulas lanjut, Che Minah berkata, Ku Li memaklumkan dia bekerja di ladang sawit dan makan nasi lemak serta roti sepanjang berada jauh dari keluarganya.

"Mak cik tanya kerja dengan siapa, dia cakap tak tahu. Tak pasti sejauh mana kebenaran cerita yang dikongsikan itu," katanya.

Che Minah berkata, sejak kehilangan anak ketujuh dari lapan beradik itu, ketenangannya agak terganggu memikirkan keadaan Ku Li yang berada jauh dari matanya.

"Macam- macam ikhtiar kami buat, solat hajat di masjid- masjid selain lakukan sendiri di rumah dan tidak putus berdoa agar Ku Li dihantar balik oleh sesiapa yang menemuinya, atau dibawa ke balai polis berhampiran, dan alhamdulillah semalam Allah makbulkan doa itu," katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Daud, 76, berkata, dia pernah cuba menjejaki anaknya hingga ke Pantai Cahaya Bulan (PCB) selepas dikhabarkan berada di sana.

"Pak cik ni ikut orang beritahu. Orang kata ada kawasan mana- mana pak cik pergi, hingga pernah ke PCB untuk jejak Ku Li, jam 3 pagi baru sampai rumah, tapi hampa," katanya.

Muhammad turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjejaki Ku Li sejak hari pertama kehilangannya sehingga dia selamat ditemui.