TUMPAT - Anggota kawasan rukun tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di sempadan perlu menjadi mata dan telinga pasukan keselamatan untuk mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Abdul Karim Abu Seman berkata, terdapat 42 KRT ditubuhkan di daerah ini yang berperanan besar  menjaga keselamatan kejiranan.

"Bukan jenayah di sempadan sahaja tetapi jenayah lain berkaitan isu sosial untuk  menjaga keselamatan kejiranan.

"Anggota SRS dan KRT di sempadan boleh menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan maklumat, bekerjasama dengan pasukan keselamatan menjaga komuniti," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meronda sungai Golok pada program Eksplorasi Rentas Sempadan Perpaduan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3, Pengkalan Kubor, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPNIN Kelantan, Norwahidah Zinalibdin dan Pemangku Pegawai Pemerintah PPM Pengkalan Kubor, Inspektor Reduan Mohidin.

Menurutnya, kerjasama KRT dengan PPM perlu diteruskan supaya hubungan tidak putus sekali gus merapatkan lagi kerjasama dengan komuniti setempat.

"Peranan komuniti amat penting, maklumat disalurkan kepada pasukan keselamatan membolehkan tindakan pencegahan diambil serta merta," katanya.