• KRKB agih dividen sembilan peratus Mohd Sabri (dua,kiri) bersama Ahli Lembaga Koperasi beramah mesra dengan penerima dividen paling banyak mewakili kaum Melayu, Cina dan India
1 /

KOTA BHARU – Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB) semalam, mengumumkan pengagihan dividen kali kedua sebanyak sembilan peratus atau RM125,625.79 bagi tahun kewangan berakhir 31 Julai 2013.

Pengerusi Ahli Lembaga KRKB, Mohd Sabri Abdullah berkata, pengagihan itu membabitkan pembayaran dividen tunai kepada 1,067 ahli yang layak menerima.

Menurutnya, ia adalah hasil keikhlasan melabur dalam perniagaan yang berkat iaitu Ar-Rahn yang membebaskan ummah daripada amalan riba.

“Kejayaan mengagihkan jumlah dividen ini adalah hasil keuntungan aktiviti Ar-Rahn dengan kerjasama Permodalan Kelantan Berhad (PKB) berjumlah RM253,459.17 dengan nilai pelaburan RM1.8 juta bagi tahun kewangan kali ini.

“Kejayaan ini sebagai merealisasikan objektif penubuhan utama KRKB iaitu berkongsi keuntungan dalam perniagaan berlandaskan syariah untuk manfaat rakyat kini tercapai,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan KRKB kali kedua.

Turut hadir pada majlis yang berlangsung di Dewan Konvensyen Kelantan Trade Centre (KTC), Timbalan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia Negeri Kelantan, Annuar Mohd.

Mohd Sabri berkata, jumlah modal saham terkumpul sehingga Julai tahun ini ialah RM1.8 juta dengan jumlah ahli koperasi berdaftar seramai 2,332.

“Daripada jumlah saham ini, RM1.8 juta dilaburkan dalam perniagaan Ar-Rahn iaitu bersamaan dengan pegangan ekuiti sebanyak 36.6 peratus.

"Bagi tahun kewangan 2013, mencatatkan peningkatan 57 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Mohd Sabri berkata, sebagai koperasi yang baru menginjak usia dua tahun, kejayaan memberi dividen yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya kepada ahli, bukti KRKB mempunyai potensi berkembang dengan lebih maju lagi pada masa hadapan.

“Secara tidak langsung, ia akan memberi keyakinan kepada ahli untuk menambah pelaburan dan menarik lebih ramai ahli baru.

“Bagi tahun kewangan 2014, saya menyasarkan modal saham dapat ditingkatkan kepada RM10 juta dan jika ia dicapai, jumlah dividen akan bertambah 10 peratus,” katanya.