PASIR MAS - Pemuda Pas Kelantan menyerahkan memorandum bantahan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Mas, kelmarin berhubung penganjuran konsert Karnival Rakyat di Sekolah Kebangsaan (SK) Kelar pada 1 Oktober lalu.

Konsert berkenaan didapati melanggar Enakmen Kawalan Hiburan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri apabila menampilkan penyanyi wanita berpakaian ketat serta tidak menutup aurat dan membuat persembahan terbuka di depan khalayak ramai.

Memorandum tersebut diserahkan sendiri oleh Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari kepada Ketua Pegawai PPD Pasir Mas, Ahmad Termizi Musa.

Ahmad Fadhli berkata, pihaknya cukup kecewa dengan pelanggaran tersebut dan mendesak pihak penganjur karnival memohon maaf secara terbuka berhubung isu berkenaan.

"Persembahan itu bukan sahaja melanggar peraturan, malah bertentangan dengan syariat agama. Kita juga mendesak Guru Besar SK Kelar diambil tindakan.

"Saya khuatir jika tiada tindakan diambil, ia akan menyebabkan lebih banyak perlanggaran peraturan yang akan berlaku selepas ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada PPD Pasir Mas yang turut dihadiri 50 ahli jawatankuasa Pemuda Pas Kelantan dan kawasan Pasir Mas.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh pihak PPD Pasir Mas.

"Saya melihat penerimaan positif daripada pihak PPD Pasir Mas menunjukkan bahawa mereka sedar perbuatan ini adalah satu kesalahan di sisi syariat dan undang-undang negeri ini.

"Apa yang kita mahu ialah tindakan diambil sebagaimana yang terkandung dalam memorandum tersebut,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut mengemukakan aduan kepada Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya di atas kejadian tersebut.

Sejak beberapa hari lalu, satu rakaman video nyanyian seorang wanita yang berpakaian sendat dan tidak bertudung membuat persembahan terbuka di Karnival Rakyat yang diadakan di padang SK Kelar menjadi viral di Facebook dan WhatsApp.

Video berdurasi 5 minit 1 saat itu menampilkan seorang wanita menyanyikan lagu sambil bergelek dengan seorang lelaki berkopiah mencetuskan kontroversi.

Ini kerana, kerajaan negeri melarang sebarang persembahan melibatkan kaum wanita di depan khalayak ramai sekali gus bertentangan dengan peraturan sedia ada.

Sementara itu, Ahmad Termizi berkata, sebaik sahaja viral tersebut tersebar, pihak PPD Pasir Mas terus memanggil pihak penganjur iaitu Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Binjal untuk memberikan penjelasan berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh penganjur peristiwa tersebut berlaku di luar kawalan mereka dan tiada dalam atur cara.

"Pasukan dikir barat yang membuat persembahan juga ditaja oleh satu badan lain bukan pihak penganjur.

"Penganjur turut memberitahu, ada salah seorang anggota kumpulan dikir barat berkenaan tampil membuat persembahan melibat seorang wanita.

“Kebetulan pada masa yang sama ada seorang lelaki berkopiah naik ke atas pentas dan turut menari bersama" katanya.

Menurutnya, apa jua asalan yang diberikan PPD melihat ianya berpunca daripada kelalaian pihak penganjur yang gagal memastikan program tersebut mengikut peraturan.

"Saya kesal dengan apa yang berlaku dan pihak penganjur juga mengemukakan permohonan maaf secara terbuka berhubung kesilapan yang berlaku.

"Bagaimanapun, saya perlu merujuk perkara berkenaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Ahmad Termizi berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai peristiwa yang berlaku ketika penganjuran program berkenaan.

Katanya, segala perancangan program yang dilakukan sepanjang penganjuran tersebut tiada dalam pengetahuan pihak PPD.

"Cuma saya perasan ada permohonan untuk menggunakan premis, oleh kerana premis berkenaan berada di bawah PPD Pasir Mas maka sokongan diberikan.

"Saya tidak terlibat dalam memberikan kelulusan, susun atur acara dan sebagainya kerana surat permohonan diajukan terus kepada Unit Perhubungan JPN," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi mengetuai ‘Street Dakwah’ di pekarangan Stadium Darul Aman, sebelum perlawanan Kumpulan C Liga Malaysia Kedah dan Kelantan, kelmarin.
  • ALOR SETAR - Beberapa gambar persembahan bertemakan Sayap Emas & Gelombang Sahara yang memeriahkan majlis pelancaran Raya Eleganza Jumaat lalu, di Aman Central dikecam banyak apabila tular di media sosial.
  • TELONG - Pemuda Pas Cawangan Telong bersiap sedia menghadapi PRU14 yang dijangka diadakan tahun ini.
  • MORIB - Mini Konsert Eksklusif Kembali Terjalin Di Ambang 2017 bakal menyaksikan peminat Zamani (Slam), Sara Mentor dan Band Satira berkumpul di Gold Coast Morib pada 31 Disember sempena malam Tahun Baharu 2017 nanti.
  • MENTAKAB - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hwa Lian akan menganjurkan konsert Wind Orchestra bagi tahun keempat pada 3 Disember depan dengan tujuan mengumpul dana untuk membeli peralatan orkestra baharu.