BACHOK – "Kolej Profesional Mara pertama di Kelantan iaitu Kolej Profesional Mara Bachok bernilai RM90 juta di Kampung Pauh Sembilan, di sini, dijangka siap pada 2021," kata Pengerusi  Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Awang Adek Hussin.

"Kerja-kerja  penyediaan tapak sedang dilakukan untuk pembinaan kolej itu di kawasan seluas 15 hektar,” katanya, sambil menambah ia merupakan  Kolej Profesional Mara ketujuh di negara ini.

Program diploma yang ditawarkan di kolej berkenaan termasuklah dalam bidang pengurusan peruncitan, kewangan korporat, reka bentuk barang kemas, kulinari dan reka bentuk tekstil.

Bercakap kepada pemberita  selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan kolej tersebut  hari ini, Awang Adek berkata pembinaan kolej  berkenaan selaras  dengan misi ‘Bachok Baharu Bachok Maju'  berasaskan bandar ilmu dan pelancongan.

"Kewujudan kolej itu dan beberapa intitusi pendidikan lain akan memberi peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih luas kepada  rakyat,”katanya. - Bernama