GUA MUSANG – Sebuah kilang simen terbesar membabitkan pelaburan RM1.38 billion usahasama Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) dengan Syarikat ASN Cement Sdn Bhd bakal dibuka di Chiku tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Kelantan, Datuk Abdul Fatah Mahmood berkata, pembinaan kilang simen itu hasil daripada usaha kerajaan negeri untuk membangunkan Hulu Kelantan.

Menurutnya, ia juga hasil daripada pengumuman Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini yang bercadang untuk membangunkan Bandar Chiku berikutan kedudukannya yang strategik dan mempunyai banyak gua batu kapur.

“Gua batu kapur itu sesuai untuk pembukaan kilang simen sebagaimana yang mendapat minat syarikat berkenaan,” katanya pada majlis Menandatangi Perjanjian Persefahaman (MoU) pembinaan kilang simen itu di Kuala Lumpur, kelmarin.

MDGM diwakili Yang Dipertuanya, Nazran Muhammad manakala Syarikat ASN Cement Sdn Bhd diwakili Managing Director for ASN Group, John Edwin Reeve.

Abdul Fatah yang menyaksikan MoU itu berkata, kilang yang dibina itu nanti mengambil masa dua tahun dengan menyediakan kemudahan prasarana utama seperti jalan, bekalan elektrik, air dan banyak lagi.

Beliau berkata, apabila dibuka pada tahun 2017 nanti ia boleh memberi peluang pekerjaan kepada 2,000 penduduk tempatan dan sekaligus memberi pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

“Saya mendapat penerangan yang jelas dari syarikat berkenaan tadi, saya difahamkan bahawa pihak ASN telah mendapat persetujuan dari pelbagai pihak sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan atau agensi berkaitan.

“Sekarang ini hanya perlu mendapat kebenaran dan persetujuan dari pihak Kerajaan Negeri Kelantan khususnya untuk membangunkan industri kilang simen ini di Chiku Jajahan Gua Musang seperti MoU yang dimenterai hari ini,” katanya.

Katanya, dasar kerajaan negeri buat masa ini adalah untuk memastikan setiap pelaburan yang dilakukan di negeri Kelantan Serambi Mekah mestilah melalui kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan ataupun mana-mana anak syarikat yang dicadangkan oleh kerajaan.

Difahamkan bahawa pihak ASN Cement Sdn Bhd dan pihak MDGM telah bersetuju pada awalan serta pada dasarnya untuk membuat satu jalinan hubungan kerjasama bagi bersama-sama membangunkan dan memajukan industri kilang simen di Chiku ini.

“Adalah menjadi harapan saya dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk melihat tercetusnya beberapa kawasan pembangunan baru yang mana akan memberi hasil serta manfaat kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

“Ia juga bakal menambah pendapatan dari segi kebenaran merancang, cukai hasil tanah, cukai taksiran, cukai pintu, lesen perniagaan dan sebagainya,” katanya.
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.