KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan mengesahkan terdapatnya gerakan Syiah di negeri ini berikutan tangkapan sekumpulan pengikut fahaman itu di sebuah lokasi malam semalam.

Pengerusi Jawatankuasa, Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, bagaimanapun setakat ini ia masih terkawal dan kerajaan bersama pihak berkaitan memantau perkara itu.

Beliau tidak menolak kemungkinan kumpulan tersebut sudah bertapak di negeri ini sejak enam tahun lalu dan juga lebih dari tempoh berkenaan dengan mengambil kira jumlah tangkapan tersebut.

“Sebenarnya gerakan Syiah ini bukan baharu, sudah lama tetapi mereka pandai menyembunyikan kegiatan mereka. Penguat kuasa sudah lama intip, kebetulan mereka tidak dapat menghidu.

“Ini menyebabkan penguat kuasa sempat menyerbu ketika mereka sedang mengadakan upacara fahaman mereka,” katanya kepada media sebentar tadi.

Terdahulu beliau merasmikan Seminar Bahaya Islam Liberal berlangsung di KTC melibatkan lebih 1,000 penyertaan dan hadir sama pengarah bersama program, Datuk Dr Johari Mat.

Malam detik kemerdekaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan menyerbu lokasi dipercayai pengikut Syiah dan menahan kira-kira 50 individu di sebuah premis di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu.

Difahamkan turut dirampas pada malam pertemuan melibatkan wanita, lelaki dan kanak-kanak itu adalah beberapa naskah buku yang berkaitan dengan fahaman berkenaan.

Mengulas lanjut penahanan tersebut, Mohd Nassuruddin berkata, mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan dan pihak berkaitan kini dalam proses penyiasatan untuk pendakwaan.

“Sebelum ini kita dengar gerakan ini ada dan selagi tidak dapat bukti kita tidak boleh ambil tindakan. Syiah ini ada taqiyyah, dia tidak mengaku apa yang dia buat tetapi sekarang ini kita sudah ada bukti dan dengan bukti itulah kita akan membuat pendakwaan,” katanya.

Ditanya mengenai kononnya tangkapan tersebut juga melibatkan ahli politik, Mohd Nassuruddin tanpa mengiakannya berkata, sesiapapun tidak akan terkecuali daripada didakwa sekiranya didapati bersalah terlibat dengan Syiah.