KOTA BHARU - PH menegur Kerajaan Kelantan yang boros berbelanja apabila membeli kereta mewah untuk pegawai tingginya ketika negeri ini berhadapan masalah kewangan.

Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa berkata, berdasarkan fahamannya kenderaan rasmi pegawai tinggi kerajaan negeri adalah Proton Perdana dan tidak sewajarnya perkara tersebut berlaku dalam tempoh ini.

“Tetapi tahun ini kerajaan negeri membeli sebuah Mercedes untuk kegunaan pegawai tinggi sedangkan pada masa negeri ada masalah kewangan. Adakah Kerajaan Kelantan sudah kaya untuk tukar kereta?

“Begitu juga dengan seorang pegawai tinggi kerajaan yang diberikan pangkat Turus Tiga sedangkan hanya Jusa A. Jadi kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang lebih,” katanya di sini.

Katanya selepas menghadiri Jamuan Rakyat Sempena Awal Muharam yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith di Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Husam berkata, kerajaan negeri perlu berhemah dalam berbelanja dan tidak salah guna peruntukan disalurkan seperti teguran Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Sebab itu Kelantan perlu menggunakan bantuan belanja mengurus dengan sebaik mungkin supaya tidak menyalahi tujuan asal ia diberikan kepada kerajaan negeri.

“Secara spesifik, defisit mengurus ini hanya digunakan untuk bayar gaji. Bayar gaji pun tidaklah berjawatan politik. Lantikan politik di kerajaan pun kita kurangkan. Jadi kalau kerajaan negeri gunakan duit untuk berbelanja banyak ia menyalahi tujuan asal,” katanya.

Menurutnya, dengan apa yang berlaku di Kelantan maka semakan terhadap perbelanjaan lain menerusi audit perlu dilakukan dan sekiranya tiada masalah, peruntukan defisit dari kerajaan pusat mesti diteruskan.

“Kalau kerajaan negeri tidak salah guna wang ini maka tidak ada perkara hendak takut. Tetapi kalau peruntukan itu disalah gunakan kita kena semak balik. Tidak adil kalau kerajaan pusat berjimat cermat tetapi kerajaan negeri pula boros,”  katanya.