KOTA BHARU – Semua pihak perlu berlapang dada dengan ‘teguran’ Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengenai keadaan negeri ini yang dilihat dari aspek pembangunannya lebih keterbelakang daripada negeri-negeri lain.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Rusdi Omar berkata, apa yang dikatakan Mahathir itu adalah sesuatu yang perlu diambil serius oleh semua pihak, terutamanya kerajaan negeri yang memerlukan satu anjakan paradigma untuk berubah menjadi lebih baik.

“Tun M bukan bermaksudkan kelantan ini miskin. Maksud miskin itu tersirat. Apa yang nak dikatakan oleh Tun ialah kerajaan negeri di bawah Pas ini kena cari altenatif untuk tambah pendapatan dan sebagainya.

“Dia beritahu miskin sebab kerajaan hanya berantung kepada pusat. Itu yang Tun M maksudkan. Kita ada cerdik pandai tetapi masalahnya kerajaan tidak mengguna pakai cerdik pandai ini untuk bantu kembangkan ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Menurutnya, sepatutnya golongan cerdik pandai ini dijadikan kumpulan pemerhati ataupun penasihat untuk membawa pelbagai idea dan pembangunan terkini kepada negeri.

Bagaimanapun, Dekan Pembangunan Pelajar dan Alumni, Universiti Utara Malaysia (UUM) itu memberitahu, idea cerdik pandai ini tidak diambil peduli kerajaan negeri, dan itulah yang  turut dibayangkan Mahathir dalam kenyataannya.

“Kalau kita tengok peluang pekerjaan, pelaburan, negeri kita yang paling jauh ke belakang berbanding negeri lain. Kerajaan negeri kena berfikiran ke depan. Kena cari sumber pendapatan. Macam mana nak buat? Sebab itu bawa cerdik pandai itu ke negeri sendiri.

“Asas insfrastruktur perlu diambil kira. Itu yang dimaksudkan. Ambil positif apa yang dikatakan Tun M sebab nak kata rakyat kelantan miskin, memang saya tidak setuju sebab setahu saya mereka mempunyai daya maju yang tinggi.

“Kalau ada infra baru, pembangunan baru, baru nampak perubahan. Kena maju ke depan. Pemimpin politik di sini berubahlah, kalau bergaduh sesama sendiri, sampai bila pun Kelantan tidak maju,” katanya.