KOTA KINABALU - Kerajaan membelanjakan RM927.5 juta bagi menjayakan pelbagai program bantuan kebajikan di Sabah sejak 2008 hingga tahun lepas.
   
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad berkata daripada jumlah itu, RM719.5 juta adalah perbelanjaan kerajaan persekutuan manakala RM208 juta daripada kerajaan Sabah.
   
Berdasarkan statistik Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, bilangan penerima bantuan di Sabah meningkat daripada 39,550 orang pada 2008 yang membabitkan perbelanjaan RM94.6 juta, kepada 74,200 orang pada 2012 dengan perbelanjaan sekitar RM241.6 juta.
   
"Setakat Mei tahun ini, bilangan penerima bantuan kebajikan di seluruh negeri ialah 75,800 orang yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM20.2 juta sebulan.
   
"Berdasarkan jumlah ini, Sabah mempunyai penerima bantuan paling ramai di Malaysia," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, di Wisma Muis, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah Ethong Terang dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Asnimar Sukardi.
   
"Saya ingin menekankan bahawa bantuan kebajikan yang diberikan oleh kerajaan ini adalah bersifat sementara sahaja dan biasanya apabila sesuatu kelulusan diberikan ianya adalah untuk tempoh 12 bulan atau satu tahun.
   
"Sebelum bantuan berakhir maka para penerima yang bercadang memohon pelanjutan akan melalui proses kaji semula bantuan. Pada masa kajian semula, kelayakan penerima berkenaan akan disemak dan dinilai semula untuk menentukan sama ada penerima berkenaan masih layak diberi bantuan kebajikan atau sebaliknya," kata Jainab.
   
Jainab yang dilantik sebagai menteri kabinet Sabah selepas pilihan raya umum ke-13, berkata terdapat segelintir masyarakat yang menganggap bantuan itu adalah untuk selama-lamanya menyebabkan mereka tidak hadir ke pejabat kebajikan untuk proses kaji semula.
   
Penerima beranggapan bahawa bantuan mereka akan dibayar secara berterusan selagi mereka masih hidup, katanya yang menyeru golongan berkenaan menyemak tempoh berakhirnya bantuan mereka dan hadir untuk semakan semula. - Bernama