KOTA BHARU - Kedaifan keluarga memaksa seorang ibu muda menggendong anak mengutip pucuk paku di dalam hutan bagi menyara kehidupan mereka di Kampung Sungai Pinang, Tumpat.

Itulah rutin Nurul Hamizah, 29, sejak dua tahun lalu setelah kesihatan suaminya, Razali Husin, 42, semakin merosot akibat penyakit kencing tikus.

Suaminya yang dulu bekerja sebagai tukang rumah tidak lagi mampu bekerja sekuat sebelum ini kerana sering kali lelah akibat jangkitan kuman tersebut.

Sebab itu dia tidak kisah digigit haiwan berbisa meredah hutan mencari pucuk paku bersama tiga anaknya asalkan dapat seringgit dua demi keluarga.

Anak mereka, Muhammad Razem Harith, 7, belajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, manakala Muhammad Razif Rafael, 5, Muhammad Rafik Rafael, 5, dan Nurulhaniesyah Amyra, 4, belum bersekolah.

“Saya terpaksa bawa ketiga-tiga anak masuk hutan bila suami keluar kerja. Saya tak fikir pasal benda lain. Asal dapat beli makan dan minum kami.

“Saya tidak malu cerita kesusahan kami, sebab saya nakkan bantuan demi besarkan anak-anak yang masih kecil,” katanya dalam nada sebak.

Perjalanan hidup keluarga itu dikongsikan ketika menerima kunjungan Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Hotel Grand River View (GRV) dan Kelantan Creative TV (KCTV)  menerusi program Kita Kongsi.

Nurul Hamizah berkata, hasil jualan pucuk paku sekitar RM10 hingga RM20 sehari digunakan dengan cermat kerana mereka tidak ada sumber pendapatan lain.

“Kalau abang boleh kerja dapatlah RM800 gaji dia. Kalau tak duit jualanlah kami guna untuk bayar sewa rumah, beli barang dapur dan belanja sekolah.

“Anak pergi sekolah pun bawa RM2 sehari tak mampu nak bagi lebih. Syukur dia dapat makanan percuma di sekolah. Lega sikit,” katanya.

Menurutnya, lauk pauk di bulan Ramadan juga ala kadar, paling mewah pun sambal ikan bilis dan ikan kering goreng, itu sudah memadai baginya sekeluarga asalkan tidak berlapar.

“Terima kasih kepada orang kampung yang ada tolong kami. Sebelum ini ada yang bagi sumbangan baju raya. Saya sendiri sudah lima tahun tidak merasa baju raya.

“Tak apalah, yang penting anak-anak boleh berbaju baru di hari raya. Mereka tidak mengerti apa yang kami lalui ini,” katanya.

Bagi mereka yang mahu menyalurkan sumbangan sempena Ramadan boleh menghubungi Kemudi di talian 012-8488301.