KOTA  BHARU – Malaysian Humanitarian Aid And Relief (Mahar) aktif menjalankan kerja-kerja kebajikan melalui pelancaran sumbangan awam sejak Jun 2018.

Pengerusi Mahar, Jismi Johari berkata, terkini pihaknya melancarkan Kempen ’RM10 untuk Ibu Eshah’ melalui media sosial pertubuhan tersebut kepada keluarga Eshah Mat, 77, dan anaknya Sulaiman Yassin, 53 bagi memperbaiki  kehidupan keluarga.

Menurutnya, bantuan motosikal roda tiga disalurkan kepada keluarga berkenaan melalui inisiatif sumbangan rakyat Malaysia yang dilancarkan sekaligus memberi kemudahan mereka menjaja buah-buahan dan sayur-sayuran di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu dan pasar malam di sekitar Gua Musang.

Jismi menyerahkan motosikal roda tiga kepada Sulaiman di samping Eshah di kediaman mereka baru-baru ini.

"Walaupun hidup dalam serba kekurangan, mereka tidak pernah menyerah kepada nasib, malah terus berusaha meraih pendapatan melalui aktiviti berjualan di pasar berkenaan.

"Dengan motosikal usang yang dimiliki oleh Sulaiman, mereka berulang alik dari Gual Periuk, Rantau Panjang ke Kota Bharu setiap hari dan sesekali ke Gua Musang untuk berniaga, malah Eshah turut mendapatkan bekalan seperti sayur-sayuran dan buah-buahan dari negara jiran untuk dijual setiap hari," katanya.

Jismi berkata, kedua-dua beranak ini telah beberapa kali berdepan dengan kemalangan apabila kenderaan yang dinaiki sudah uzur dan tidak selamat.

Katanya, pada masa yang sama terpaksa mengangkut barang-barang jualan yang banyak dan mengakibatkan kenderaan yang dinaiki tidak stabil.

“Kami bertekad untuk membantu mereka kerana di sebalik kehidupan mereka yang serba kekurangan, mereka tidak mengalah kepada nasib malah berdikari meneruskan kehidupan dengan saki-baki kederat yang ada.

"Mereka merupakan ikon masyarakat kepada mana-mana individu yang banyak memberikan alasan hidup susah atas faktor kemiskinan,” katanya.

Sulaiman tidak dapat mengawal kesedihan selepas menerima motosikal roda tiga dari Jismi.

Lebih malang, Jismi berkata, keluarga ini juga tidak mempunyai rumah yang selamat untuk dihuni.

Walaupun mempunyai sebidang kecil tanah, mereka tidak mampu untuk membina rumah kerana tidak mempunyai wang yang cukup.

"Buat masa ini mereka menumpang teduh di bangsal milik saudara yang terletak jauh di pedalaman tanpa sebarang keperluan asas seperti sumber air bersih dan tenaga elektrik.

"Wakil Mahar di Kelantan telah berjumpa dengan keluarga berkenaan dan memanjangkan perkara tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab namun masih belum mendapat sebarang maklumbalas," katanya.

Beliau berkata, pada awalnya kempen ‘RM10 untuk Ibu Esah’ ini disasarkan untuk membantu keluarga ini dengan membina tempat tinggal yang lebih kondusif, namun jumlah sumbangan belum mencukupi sekaligus dana yang terkumpul sehingga kini digunakan untuk membeli kenderaan yang selamat untuk digunakan seharian.

Katanya, Mahar berharap pihak berkuasa tempatan akan membantu keluarga ini membina tempat tinggal yang selamat memandangkan faktor usia mereka yang sudah lanjut di samping tiada tempat lain untuk mengadu nasib sehingga hari ini.

Dalam pada itu, mereka yang ingin membantu dalam kempen ‘RM10 untuk Ibu Eshah’, bolehlah menyalurkan sumbangan ke  akaun bank CIMB Islamic Malaysian Humanitarian Aid and Relief : 8602 5997 64.