BACHOK - Keledek ungu atau Ipomoea batatas bakal menjadi tanaman baharu untuk diusahakan petani negeri ini tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Sri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kajian Mardi mendapati keledek ungu itu mengandungi bahan antioksida iaitu antosianin.

Beliau berkata, antosianin amat berkesan dalam mencegah dan mengurangkan risiko penyakit berbahaya seperti kanser serta mengurangkan penyakit kardiovaskular.

"Ubi keledek ungu ini memberi peluang besar kepada industri untuk meningkatkan hasil pertanian dan pengeluar produk sampingan. Dengan tiga versi ubi keledek ungu ini ia diharap dapat merancakkan semula industri ubi keledek Malaysia.

"Mardi telah meningkatkan nilai tambah keledek itu sendiri seperti roti, aiskrim, donat, kerepek, minuman, sos, candy, dan pelbagai lagi yang boleh diteroka untuk diketengahkan oleh industri tempatan.

"Saya berharap kempen tanaman ubi ungu ini dapat diuar-uarkan agar petani mengkomersialkannya. Penduduk kampung perlu merebut peluang ini untuk bersama-sama mengusahakan tanaman baru keledek ungu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan pelancaran tanaman keledek ungu di Mardi Bachok, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Sharif Haron; Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Timbalannya, Datuk Dr Ilias Husain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Mardi, Datuk Dr Sharif Haron berkata, dalam majlis itu juga dilancarkan buku manual pengeluaran ubi keledek ungu yang boleh dijadikan panduan untuk penanam dan pengusaha ubi keledek ungu bermula dari penyediaan bahan tanaman sehinggalah kepada penghasilan produk.