•  Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan
1 /

KOTA BAHARU - Kerajaan Kelantan hari ini mengaku projek pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan atau lebih dikenali projek Lembah Sireh, tidak menepati masa pelaksanaan dan tidak memberi pulangan sebagaimana yang dirancang.
   
Walau bagaimanapun Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata setakat ini boleh dikatakan projek itu kurang berjaya sepenuhnya tetapi tidak ada unsur penyelewengan.
   
Kerajaan negeri akan mempertahankan setiap projek di kawasan tebing Sungai Kelantan itu dan mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysian (SPRM) untuk membuat siasatan berhubung perkara itu, katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.
   
Turut hadir Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan semua Exco kerajaan negeri.
   
Takiyuddin berkata kerajaan negeri bersedia menemui Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bagi memperjelaskan isu Lembah Sireh itu berikutan perkara itu dibangkitkan dalam Laporan Audit Negara 2011 yang dibentangkan di Parlimen pada 15 Oktober lepas.

Projek Lembah Sireh melibatkan pembangunan dan pengindahan tebing Sungai Kelantan itu mula menjadi persoalan selepas didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 baru-baru ini.
   
Laporan itu antara lain menyebut bahawa pihak syarikat yang memajukan projek bernilai RM2 bilion itu belum melaksanakan komponen fizikal seperti yang dijanjikan.
   
Kawasan seluas 400 hektar dilaksanakan secara pajakan selama 99 tahun, dengan kerajaan Kelantan bakal mendapat imbuhan daripada pemaju termasuk projek perumahan, taman rekreasi, pusat peranginan, hotel, kemudahan marina, taman awam dan jambatan merentangi Sungai Kelantan di Kampung Cina.
   
Isu projek tersebut mendapat perhatian pembangkang pada Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dengan kerajaan negeri membuat penjelasan pihaknya akan berbincang dengan syarikat swasta pelaksana projek berhubung teguran dalam laporan itu.
   
Takiyuddin berkata pembangunan di kawasan itu sedang giat dijalankan di bawah perjanjian dengan pihak pemaju, dan dijangka siap menjelang 2019.
   
"Setakat ini hanya lima peratus sahaja pembangunan sudah dilaksanakan di kawasan itu sejak dimulakan pada 2007 yang lalu. Kita ada tempoh sehingga 2019 dan pihak kerajaan yakin seluruh kawasan itu akan dapat dibangunkan nanti," katanya.
   
Dua hari lepas, Pemuda Umno Kelantan dan pertubuhan bukan kerajaan, Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (Ombak) telah membuat laporan ke SPRM berhubung projek Lembah Sireh dan mahukan SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh.
   
Presiden Ombak, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad berkata beliau menyokong cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahukan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan menyiasat projek Lembah Sireh. - Berna,a