KOTA BHARU – Kastam Diraja Malaysia Kelantan menahan tiga lelaki dan merampas 5,700 karton rokok seludup bernilai RM728,460 yang disorokkan dalam lapisan kayu dalam serbuan di Kampung Telaga Ara, Gunong, Bachok, semalam.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Mohd Nasir Yusoff berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 30 dan 50 tahun ketika itu sedang leka memunggah rokok dari lori dipercayai untuk dipindahkan kepada pelanggan yang sedang ditunggu pada jam 8.20 malam.

“Pihak kami menerima maklumat awam berhubung aktiviti itu dan menyerbu ke tempat kejadian serta berjaya menahan ketiga-tiga mereka.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan menjumpai satu ruang berlubang di dalam susunan lapisan papan lapis di atas lori. Di dalamnya terdapat 5,700 karton rokok seberat 969 kilogram,” katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Padang Bongor, di sini, tadi.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan akan mendapatkan perintah reman hari ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :