RANTAU PANJANG - Sebilangan peniaga di Pasar Bandar Tasek Raja dan Bazar Siti Fatimah di sini, menyesal kerana berpindah ke pasar baharu, beberapa tahun lalu.

Peniaga Bazar Siti Fatimah, Mohamad, 41, berkata, dia menyesal kerana akur dengan arahan berpindah sedangkan dia sedar masalah yang bakal timbul.

Menurutnya, antara masalah yang membelenggu peniaga adalah kadar sewa, kedatangan pengunjung, persaingan dengan penjaja dan premis swasta.

“Dulu tak ada kuasa tular di laman sosial, Facebook atau WhatApps. Suara kami tenggelam, tak ada siapa nak dengar.

“Tapi peniaga di Pasir Puteh, mereka bertuah sebab mampu bersuara dan menyatakan hak sebagai peniaga,” katanya.

Sekarang katanya, hampir 250 peniaga gulung tikar dan banyak kedai ditutup terutama di tingkat dua dan tiga bangunan itu.

Seorang lagi peniaga bazar Siti Fatimah, Razak, 42, berkata, pihak berkenaan sepatutnya menaik taraf pasar lama, bukannya mendesak peniaga supaya berpindah.

“Pelanggan ramai, tapi hanya tertumpu di tapak pasar lama. Jarang sekali mereka naik ke bazar tiga tingkat ini.

“Mana janji nak tarik pelanggan, promosi berkurangan malah janji nak bina mercu tanda atau pintu gerbang masih belum terlaksana,” katanya.

Masalah sama membelenggu peniaga di Pasar Tasek Raja apabila kebanyakan pengunjung lebih tertumpu di tingkat bawah.

Peniaga, yang hanya mahu dikenali sebagai Lin, 40, berkata, kurang 40 peratus peniaga masih menjalankan perniagaan di tingkat atas.

Menurutnya, keadaan semakin terdesak pada hari bekerja dan hanya mengharapkan cuti sekolah dan musim perayaan.