BACHOK – [DIKEMASKINI] Mangsa kemalangan di Kilometer 19 Jalan Lipis-Merapoh, Padang Tengku, dekat sini, pagi semalam pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti kerja di Kuala Lumpur dan pulang menjaga ibunya di kampung.

Mimi Suziana Mohamed, 39, dikatakan sudah lama bekerja di sebuah pasar raya di ibu kota selepas tamat pengajian di Universiti Malaya sekitar 10 tahun lalu.

Adik mangsa, Norfaizal, 31, berkata, baru-baru ini kakaknya pernah memaklumkan mahu pulang dan tinggal bersama keluarga di kampung.

"Kakak kata dia tak puas balik beraya seminggu masa Aidilfitri lalu sedangkan dia cuti dua minggu kerana tak ada tiket bas.

"Jadi raya haji ini dia nak balik lagi sebab biasanya kalau dia balik raya puasa, dia dah tak balik raya haji. Ayah pun dah sediakan kambing untuk kakak buat korban kali ini namun semuanya takdir, impian itu tak kesampaian," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Kampung Keluat, malam tadi.

Dalam kemalangan itu, dua lagi adik mangsa turut terkorban iaitu Norfasmida, 24, dan Ahmad Faris, 16, serta rakan Norfasmida, Nur Farah Farahainsah Jaafar, 21.

Norfasmida adalah penuntut Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan, Pahang dan Ahmad Faris belajar di Kolej Vokasional Seremban, Negeri Sembilan.

Jenazah tiga beradik itu tiba di kampung halaman jam 2.50 pagi tadi sebelum disemadikan dalam satu liang lahad jam 3.20 pagi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tiga beradik antara yang maut]

[ARTIKEL BERKAITAN: Terkilan tak sempat jumpa dari tahun lalu]

[ARTIKEL BERKAITAN: Tak sempat laksana ibadat korban]