GUA MUSANG - Kajian diperlukan bagi mencari punca mengapa majoriti rakyat Kelantan menjana pendapatan di luar negeri itu.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Jidin tidak menolak kemungkinan, mereka tidak mempunyai peluang di negeri sendiri sehingga perlu keluar mencari peluang di negeri orang.

Katanya, mesej Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad jelas, dimana rakyat Kelantan berkebolehan dan berkemampuan dalam perniagaan.

"Bukan sahaja dalam bidang perniagaan malah pegawai kerajaan juga ramai dari Kelantan. Kita memerlukan kajian dan perlu lihat apa punca dan bagimana nak gembeleng mereka dalam pembangunan di negeri ini.

"Persoalannya, adakah kita mahu yang ada pada hari ini dibiarkan dan terus menggunakan kepakaran itu diluar atau sebaliknya. Itu yang akan kita teliti.

"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk memikirkan langkah kerana untuk membuat satu-satu polisi dan dasar, kita perlu memahami keadaan tambah-tambah lagi, kita (kerajaan) masih baharu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutupan Bulan Kebangsaan Peringkat Sekolah Kebangsaan Sri Chiku 2  dan Program Berjalan Seribu Langkah Peringkat Felda Chiku 2 Tahun 2018, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Pendidikan Kelantan, Muhammad Zahari Othman.

Terdahulu, Dr Mahathir berkata, ada sesuatu yang 'tidak kena' dengan iklim di negeri Kelantan hinggakan rakyatnya tidak mampu berbakti di negeri sendiri.

Tambah Radzi, kerajaan memerlukan masa, statistik, data dan maklumat bagi merangka perjalanan dalam situasi ini.

"Pun begitu, dalam hal ini, kita tidak mahu menimbulkan polemik antara kerajaan negeri. Yang penting, kita berusaha untuk membangunkan Kelantan," katanya.