KOTA BHARU – Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan akan berusaha menyelesaikan kemelut muara cetek yang dialami hampir 1,000 nelayan di Jeti Kuala Besar, di sini, dengan kadar segera.  

Pengarahnya, Kamal Mustapha berkata, pihaknya mengambil tindakan turun padang dan melihat sendiri secara lebih dekat masalah yang dihadapi para nelayan susulan daripada demonstrasi aman yang dilakukan Persatuan Nelayan Kota Bharu, kelmarin.

Katanya, pihak JPS negeri terlebih dahulu akan menyiasat secara menyeluruh dari segi teknikal berhubung masalah muara cetek yang didakwa mengganggu kerja-kerja pendaratan bot nelayan sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

“Jarak muara cetek tersebut dianggarkan sepanjang 600 meter, namun pasukan kami perlu menjalankan penelitian menyeluruh kerana proses mendalamkan muara sungai adalah kerja yang rumit dan memerlukan penelitian rapi.

“Nak korek pasir perlu ukur kedalaman terlebih dahulu dan cari tempat untuk pindahkan pasir, selain mengambil kira kawasan mendapan yang mungkin berlaku serta tembok-tembok yang ada sebelum menjalankan kerja-kerja pendalaman muara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau sendiri keadaan muara cetek di Jeti Kompleks Pendaratan Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya juga akan menyiapkan laporan siasatan yang lengkap untuk dihantar ke ibu pejabat JPS di Putrajaya dan menunggu kelulusan pihak atasan berkenaan sebelum menjalankan apa-apa kerja berkait penyelesaian masalah ini.

“Proses ini akan menelan belanja yang tinggi dan kosnya bergantung pada sejauh mana masalah ini berlaku, jadi keadaannya kritikal serta memerlukan perbincangan semula dengan semua pihak sekurang-kurangnya seminggu.

“Paling penting, kami akan cuba mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikan kesulitan ini untuk jangka masa panjang. Pada masa sama, kami juga akan memikirkan langkah penyelesaian untuk jangka masa pendek bagi meringankan bebanan serta tekanan yang dihadapi nelayan secara segera,” katanya.

Sementara itu, Ketua Nelayan Kawasan Kota Bharu, Hazahar Mat Sanisah nyata terharu dengan keprihatinan yang ditunjukkan JPS negeri dan mengharapkan kesulitan yang masuk tiga tahun membelenggu mereka akan bertemu jalan penyelesaian.

“Saya dan nelayan lain sangat berharap pihak JPS  dapat membantu kami keluar daripada masalah yang berlarutan hampir tiga tahun sekali gus memberi harapan baru kepada kami yang mencari punca pendapatan dengan menangkap ikan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAMUNTING - Walaupun menetap di Kampung Paya Baru, di sini sejak lebih 70 tahun lalu, namun majoriti penduduk setempat masih kecewa dengan perkembangan pembangunan kampung tersebut susulan masalah kemudahan infrastruktur yang seperti tiada jalan penyelesaian.
  • BERUAS - Tidak selesa dan menjijikkan. Itu gambaran penduduk Kampung Padang Serai di sini, setelah hampir 10 tahun dibelenggu masalah lalat.
  • KUALA KURAU - Lebih 100 petani di kawasan Kuala Kurau dekat sini, bimbang aktiviti penanaman benih padi yang diusahakan sejak seminggu lalu terjejas akibat ditenggelami air selepas hujan lebat tiga hari lalu.
  • MALIM NAWAR - Penduduk sekitar diminta untuk saling bekerjasama mengingati antara satu sama lain untuk tidak ‘bergadai’ nyawa menceroboh landasan kereta api sebagai jalan pintas.
  • IPOH - Pembeli-pembeli rumah teres di Taman Chemor Setia Fasa 1, di sini, menggesa kerja-kerja pembinaan rumah berkenaan dapat disiapkan segera kerana telah terbengkalai sejak hampir sedekad.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.