KOTA BHARU - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri mengambil tindakan segera berhubung isu kegusaran penduduk Sungai Melor dengan menjalankan pembersihan Sungai Melor dengan peruntukan kira-kira RM30,000.

Pengarahnya, Kamal Mustapha berkata, langkah itu diambil sejak beberapa hari lalu dengan membersihkan kawasan sungai terutama sampah-sarap dan kiambang yang boleh menyekat aliran air terutama ketika hujan lebat.

“Kami mengambil maklum mengenai isu ini, yang mana, ada keluhan struktur gabion jambatan di bawah Sungai Melor di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) menghalang aliran air Sungai Melor mengakibatkan banjir.

“Atas sebab itu, JPS Kota Bharu sudah mengambil inisiatif membersihkan Sungai Melor, walau bagaimanapun, terdapat ‘downstream’ jambatan di kawasan jajahan Bachok

"Oleh itu kita kini berusaha mendapatkan peruntukan untuk mendalamkan sungai sejauh kira-kira 100 kilometer (km) hingga 200km di bahagian hilir,” katanya ketika ditemui pada Majlis Asyura Perdana di Institut Pembangunan Modal Insan JPS Kelantan, Panji.

Beliau mengulas permohonan Yang Dipetua Pas Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh supaya pihaknya mendalamkan Sungai Melor berikutan penduduk di kampung berdekatan termasuk Kampung Sri Kulim, Melor, bimbang berlakunya banjir berulang seperti Januari lalu.

Kamal berharap, dengan pembersihan dan usaha mendalamkan sungai membolehkan aliran air berjalan lancar, namun begitu, katanya masih ada halangan bahawa alirannya tak sempurna sebab ada struktur yang menghalang di gabion.

“Kita akan mengadakan mesyuarat dengan JKR berbincang dari segi strukturnya dan saya percaya, JKR mempunyai justifikasinya untuk melindungi bahagian itu.

"Kalau tak ada apa-apapun, sekurang-kurangnya, dengan adanya projek mendalam dan membersihkan sungai, diharap aliran air berjalan dengan baik, sekaligus mengurangkan risiko pengurangan kesan semasa banjir.

“Selepas kerja permbersihan sungai yang hampir siap dijalankan, selepas ini JPS Kota Bharu akan memantau dan berusaha mendapatkan peruntukan baru dengan kerajaan negeri bagi mendalamkan sungai di bahagian hilir,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah membuat kertas kerja dan anggaran nilai peruntukan akan dilakukan oleh JPS Bachok dan akan dihantar pada Isnin nanti kepada pihak kerajaan negeri.

 “Ini adalah langkah segera, untuk langkah jangka masa panjang, jumlah keseluruhan peruntukan bagi Sungai Melor akan diusahakan dengan lebih banyak di dalam kertas kerja lain bagi mengurangkan risiko banjir,” katanya.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SELINSING - Penantian lebih 200 komuniti nelayan darat Kampung Sungai Protan dan Sungai Baru, di sini memohon kawasan muara Sungai Protan dan Sungai Baru diperdalamkan bagi kemudahan aktiviti menangkap ikan akhirnya ditunaikan Jabatan Pengairan dan Saliran(JPS) Kerian dengan perlaksanaan projek tersebut bernilai keseluruhan hampir RM300,000.
  • KULAI - Amanah Johor mendakwa kecewa apabila tiada tindakan serius diambil oleh Kerajaan Negeri Johor berhubung pencemaran sungai di negeri itu.
  • TUMPAT - Bimbang berlakunya hakisan, kehadiran kapal sedut pasir terlalu hampir dengan tebing meresahkan penduduk Kampung Laut.
  • KOTA KINABALU - Paras air dua daripada tiga sungai utama di Kota Belud melepasi paras amaran menyebabkan 13 kampung dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat sejak kira-kira jam 3.20 petang ini.