KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menghentikan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) 2018 sebaik arahan supaya program itu dihentikan serta merta.

Program SKSJ 2018 yang berbaki dua siri sepatutnya diadakan di Kota Bharu dan Gua Musang selepas siri pertama dan kedua di Ketereh dan Kuala Krai.

Pengarah JPJ Kelantan, Mahasan Mustapha berkata, program itu diadakan empat siri pada setiap tahun di seluruh daerah di negeri ini sejak 2009.

“Walaupun belum menerima arahan rasmi, namun dua lagi program yang sepatutnya diadakan tidak diteruskan.

“Program yang sudah berjaya ditamatkan iaitu di Kuala Krai dan Ketereh, dan sebagaimana arahan iaitu mana-mana program yang sedang dijalankan serta belum selesai perlu diteruskan sehingga tamat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri JPJ Kelantan, di sini, hari ini.

Program SKSJ diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini bagi tujuan membantu masyarakat luar bandar memiliki Lesen Memandu Percubaan (P) motosikal kelas B2.

Bagaimanapun Kementerian Pengangkutan di bawah kerajaan Pakatan Harapan memutuskan untuk menghentikan program itu kerana mendapati ia tidak menekankan sepenuhnya proses pembelajaran, latihan mahupun ujian memandu yang ketat.