• Mohd Amir Sham Ramli Pelbagai barangan elektrik yang menjadi pilihan ramai boleh didapati di Kemudi Timur.
1 /

KOTA BHARU-Kemudi Timur Elektronik Sdn Bhd (Kemudi Timur) sebuah syarikat jualan barangan elektrik terbesar di negeri ini mengembangkan sayap perniagaan dengan mewujudkan Samsung Digital Centre (SDC) yang kini beroperasi di Wisma Che Minah di Kubang Kerian.

Pengurus Besar, Mohd Amir Sham Ramli berkata, pembukaan premis tersebut berikutan sambutan yang menggalakkan dan juga kepercayaan dalam kalangan pengguna terhadap  kualiti produk dijual oleh syarikat.

Menurutnya,  bagi memenuhi permintaan pasaran semakin tinggi terhadap produk digital dan juga telefon pintar yang menjadi pilihan ramai , SDC iaitu kedai yang dimiliki 100 peratus oleh syarikat Kemudi Timur mewujudkan pusat berkenaan.

“Di sini, kami menawarkan pelbagai barangan termasuk produk digital keluaran terkini yang menjadi ‘kegilaan’ orang ramai dengan harga promosi yang pasti memberi kepuasan kepada para pengunjung,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Katanya, sebelum ini kedai Kemudi Timur berada di hadapan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan kini berpindah di Wisma Che Minah berdepan KFC Kubang Kerian.

“Oleh itu, orang ramai jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi cawangan di Kubang Kerian untuk mendapatkan pelbagai barangan tulen yang akan melengkapkan keperluan kehidupan keluarga anda termasuk kedai-kedai lain,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Amir Shah berkata, bagi memenuhi permintaan ramai, pihaknya  membuka cawangan baru di Jerteh yang dijangka beroperasi Disember ini dan satu lagi berhampiran Balai Polis Pasir Puteh diharap dapat berurus niaga awal tahun hadapan.

“Menerusi pembukaan cawangan terbaru ini ia akan memudahkan orang ramai untuk mendapatkan produk yang ditawarkan oleh syarikat kami di lokasi-lokasi berhampiran,” katanya.

Mohd Amir juga berterima kasih dengan sokongan daripada orang ramai yang membeli barangan di Kemudi Timur dan mengharapkan  kepercayaan daripada semua pihak ini bersama-sama membantu perniagaan barangan elektrik.

Selain memberi tumpuan kepada keuntungan jualan, pihak Kemudi Timur juga bercadang menjalankan perniagaan secara francais yang akan memberi peluang pekerjaan kepada golongan bumiputera menceburi bidang perniagaan tersebut.

Syarikat Kemudi Timur Enterprise ditubuhkan pada tahun 1997 dan diasaskan oleh Shabki Abdullah yang mulanya hanya bekerja sebagai jurujual barangan elektrik.

Dengan bermodalkan RM50,000 beliau mengambil alih perniagaan di tempat kerjanya di Taman Greenwood, Jalan Batu Cave Selangor dengan berstatus pemilik tunggal yang menjual semua jenis barangan elektrik dan elektronik.

Pada tahun 1999 Shabki mengambil keputusan membuka cawangan di negeri kelahiran beliau di Kota Baharu dan tahun 2002 Kemudi Timur Elektronik Sdn Bhd ditubuhkan dengan pemegang saham 100 peratus  milik bumiputera.

Sehingga kini terdapat 12 cawangan di Kelantan dan satu di Selangor dengan 120 kakitangan yang beribu pejabat di Jalan Sultan Yahya Petra.