KOTA BHARU - Bagi mendepani bencana alam seperti kebakaran tanah gambut dan sebagainya, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini sedang dalam perancangan untuk menambah aset agensi itu terutamanya melibatkan negeri Kelantan yang sering dilanda masalah tersebut.

Ketua Pengarahnya, Mohammad Hamdan Wahid berkata, peningkatan aset merupakan satu keperluan dan prosesnya adalah berterusan termasuklah melibatkan peralatan perlindungan diri kakitangan dan keperluan jentera bomba setiap negeri.

“Kita lihat kesiapsiagaan dalam tangani bencana alam dan bencana industri seperti ini hendaklah kita pertingkatkan dari aspek logistik dan sumber modal insan mereka iaitu melalui proses-proses latihan yang telah ditetapkan dan pada masa sama mereka buat persiapan dan persediaan dengan koordinasi dengan agensi-agensi lain yang berada dikawasan tertentu,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata demikian di sidang media semasa Lawatan Kerja Rasmi dan Majlis Aidilfitri di Ibu Pejabat JBPM Kelantan di sini. Turut hadir, Pengarah JBPM negeri, Nazili Mahmood.

Menurutnya, contohnya di Kelantan, negeri ini memerlukan kenderaan yang mampu masuk ke kawasan sempit dan boleh melalui kawasan berair mengikut had-had tertentu, selain memerlukan pam yang bersesuaian.

Beliau berkata, perkara tersebut telah dibincangkan di peringkat tertinggi dan kini pihaknya hanya berasaskan kepada kewangan kerajaan yang difahami dalam langkah penjimatan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai persiapan banjir di kawasan pantai timur, beliau berkata, pihaknya sentiasa mengambil peduli perkara tersebut dan bekerjasama dengan Jabatan Meteorologi untuk melihat ramalan kaji cuaca untuk membantu membuat persiapan.

“Pusat gerakan operasi pula 24 jam bergerak dan mereka akan menambah keanggotaan sekiranya sekiranya berlaku sesuatu yang diluar jangkaan,” katanya.