BACHOK - Bekas penuntut Maktab Perguruan Kota Bharu (MPKB) menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan kerajaan terdahulu yang mahu menutup Institut Pendidikan Guru (IPG) dan menukar fungsinya sebagai kolej vokasional.

Bekas penuntut MPKB, Tan Kee Han berkata, dia antara penuntut pertama yang menimba ilmu di situ sekitar 1986 hingga 1988.

Menurutnya, pusat pendidikan itu amat penting untuk melahirkan lebih ramai tenaga pengajar.

“Kami tak sokong keputusan kerajaan terdahulu yang mahu menutup IPG ini dan merayu pihak kerajaan terkini agar mendengar rintihan warga IPG untuk ia terus kekal bagi melahirkan generasi pendidik anak bangsa," katanya dalam sidang media di pekarangan kediaman Ketua Penerangan Bersatu Kelantan, Mohd Zulkifli Zakaria di Tawang, semalam.

Sementara itu, Pengarah IPG Kota Bharu, Hashim Deraman berkata, IPG Kota Bharu adalah salah satu IPG tertua di negara ini.

Katanya, jika ia ditutup atau diubah fungsinya sudah pasti akan menyebabkan kerugian besar dalam dunia pendidikan.

“Kebanyakan pensyarah IPG Kota Bharu sudah lama bertugas di situ dan jika ia ditutup sudah pasti memberi impak kerana mereka terpaksa berpindah jauh ke tempat lain.

“Jika diberi ruang untuk melatih guru berpengalaman, kami mampu beri khidmat kepada guru untuk terus berkecimpung dalam dunia pendidikan. Dalam masa yang sama kami turut melatih guru dalam perkhidmatan. Permintaan sekolah untuk melatih guru dalam perkhidmatan ini amat tinggi,” katanya.

Beliau percaya jika diberi peluang mereka dapat bekerjasama dengan pihak berkeperluan di seluruh negeri kerana mempunyai kepakaran pensyarah berpengalaman luas dalam pelbagai bidang masing-masing.

Difahamkan kini, bilangan penuntut sedia ada amat sedikit iaitu 164 orang (ambilan Jun 2014 dan Jun 2016) yang akan menamatkan pengajian pada 20 Jun 2020.

Bilangan pensyarah pula seramai 152 orang yang mengajar subjek TESL, Pendidikan Khas, Sejarah, Bahasa Melayu tidak termasuk subjek elektif.

Bagi Ketua Jabatan Bahasa IPG Kota Bharu, Muhaimi Saifuddin Mohd Salleh, IPG Kota Bharu mempunyai sejarahnya tersendiri apabila penubuhannya adalah bagi menggantikan dua maktab perguruan sementara di Kirby, Liverpool dan Wovehampton, England pada 1952.

Katanya, amat rugi jika IPG Kota Bharu ditutup kerana ia seolah-olah melupakan sejarah lama pengembangan institusi pendidikan guru di negeri ini.