PASIR MAS - Perkasa meminta kerajaan persekutuan menyegerakan kerja-kerja menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) ke antarabangsa bagi memberikan lebih banyak manfaat kepada rakyat Kelantan pada masa depan.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, projek yang menelan belanja RM420 juta itu tidak boleh lagi ditangguhkan kerana ia akan merencatkan perkembangan ekonomi negeri ini.

“Sudahlah ekonomi di negeri ini tidak bermaya, bila naik taraf jadi antarabangsa, lebih ramai pelancong asing akan datang ke Kelantan pada masa depan.

“Kemasukan pelancong asing ini akan merancakkan lagi perkembangan ekonomi dan akhirnya rakyat akan mendapat manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis turun padang dan ramah mesra bersama penduduk di Dun Pengkalan Pasir.

Pada majlis itu, Ibrahim yang juga bekas ahli Parlimen Pasir Mas menyampaikan sumbangan keperluan dapur kepada penduduk di kawasan itu.

Menurutnya, tidak ada gunanya perlaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menelan belanja ratusan juta ringgit jika LTSIP masih berada ditakuk lama.

Katanya, kedua-dua projek mega ini harus dilakukan secara beriringan demi kepentingan rakyat.

“Saya percaya gabungan kedua-dua projek ini akan mengubah Kelantan berada dalam satu zon pembangunan yang lebih baik berbanding sekarang.

“Begitu juga dengan projek tebatan banjir yang perlu disegerakan demi rakyat dan kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada perkara ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim membidas cadangan Kerajaan Pas Kelantan untuk membina sebuah lapangan terbang di Sungai Bagan, Machang.

Katanya, projek itu hanyalah usaha terdesak Pas untuk memancing undi pada PRU14 bagi mengekalkan kuasa di negeri ini.

“Kemudahan itu (lapangan terbang baharu) bukan satu keperluan penting buat rakyat kerana jaraknya dengan LTSIP tidak jauh.

“Ada hati nak berjanji buat itu dan ini sedangkan apa yang mereka (Pas Kelantan) janjikan sebelum ini tidak pernah ditunaikan walaupun sebesar kelinking.

“Saya lihat cadangan ini tidak masuk akal dan lebih kepada politik sahaja, maklumlah dekat-dekat pilihan raya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan, Datuk Dr Wan Zawawi Wan Ismail menerusi satu kenyataan di laman sosial

Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan berkata, kerajaan Pas Kelantan merizabkan tanah seluas 200 hektar untuk cadangan pembinaan lapangan terbang bertaraf antarabangsa di kawasan tersebut.

Ibrahim berkata, rakyat perlu bijak memilih pemimpin yang akan diangkat pada PRU14 nanti.

Katanya, kesilapan memilih pemimpin akan merugikan rakyat Kelantan pada masa hadapan.