TANAH MERAH - Pelaksanaan hukuman sebat kepada pasangan lesbian di Terengganu baru-baru ini mengikut peruntukkan undang-undang Mahkamah Syariah Negeri Terengganu dan ia sebenarnya tidak perlu diperbesarkan.

Ketua Bersatu Tanah Merah, Bahari Mohamad Nor berkata, apa yang perlu dibincangkan adalah sama ada benar atau tidak peruntukan dalam Kanun Jenayah Syariah itu menepati undang-undang Islam atau sebaliknya.

"Apa yang perlu diketengahkan di sini adalah apa yang dimaksudkan dengan menegakkan syariah Islam itu hanya menegakkan hukum syariah semata-mata?

"Jika isu ini diketengahkan sudah tentu ia tidak mempersoal dan menidakkan undang-undang Islam," katanya.

Beliau yang juga Pengerusi PH Tanah Merah berkata, dalam isu ini, perbincangan bukanlah tertumpu pada isu sebat namun sejauh mana undang-undang Islam itu dilaksanakan.

"Kita sebagai umat Islam tidak boleh menidakkan hukum ALLAH namun apa yang pasti persoalan pelaksanaan hukuman itu adakah hanya untuk jenayah syariah malah jenayah sivil bagaimana?

"Perkara ini harus diketengahkan dan diperdebatkan dalam usaha memartabatkan syiar Islam dan undang-undang syariah ini dapat dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia menggantikan undang-undang sivil.

"Ini perlu kerana setakat ini hukuman hudud juga masih diperdebatkan dan kanun jenayah syariah belum terlaksana sepenuhnya di negara kita,"katanya.

Beliau berkata, maka sudah tiba masanya kerajaan menjalankan usaha memartabatkan agama Islam yang merupakan agama rasmi di Malaysia.