KOTA BHARU - Rakyat tidak perlu cepat mencemuh kerajaan sebaliknya menilai kesungguhan kepimpinan baharu berusaha merealisasikan segala janji-janji politik mahupun pembangunan lain.

Penganalisis Politik, Dr Rusdi Omar berkata, Kerajaan PH dilihat mencuba sedaya upaya walaupun sukar untuk mereka menjayakan semua janji manifesto mereka dalam tempoh 100 hari.

“Saya setuju dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa janji manifesto PH bukanlah sebuah kitab suci seperti al-Quran yang perlu kita patuhi atau penuhi sekiranya terdapat rintangan di luar kawalan manusia.

“Bagi rakyat sudah memadai sekiranya kita melihat adanya inisiatif kerajaan untuk laksanakannya janji-janji mereka. Bagi masa lima tahun kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Kelmarin, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam sidang Dewan Rakyat memberitahu kerajaan sedia menanggung dosa sekiranya gagal melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto PH pada PRU14.

Namun kerajaan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada rintangan yang menyukarkan usaha untuk realisasikannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masyarakat seharusnya memberi sokongan dan bukannya memburuk-burukkan kerajaan agar pihak luar tidak melihatnya dari perspektif negatif.

Katanya, biarpun parti lain seperti sedang mengambil kesempatan terhadap situasi yang berlaku sekarang namun rakyat perlu terus meletakkan kepercayaan bahawa segala-galanya akan berlaku secara beransur-ansur.