JELI - Mahasiswa Universiti Malaysia Kelantan (UMK) disaran tidak membangkitkan isu- isu bersifat perkauman mahupun politik.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Husaini Omar berkata, mahasiswa seharusnya matang dan cuba mengelak dari membangkitkan sentimen sensitif di kampus.

"Sebagai seorang pelajar atau mahasiswa di universiti awam, anda seharusnya matang dan tidak sepatutnya bangkitkan sentimen perkauman dan perbezaan politik.

"Kita terbuka untuk mendapatkan sentimen dari segi perkauman dan politik, tapi saya minta untuk tidak dibangkitkan, jadi, matanglah dalam kehidupan di universiti dengan kebebasan yang diberi," katanya.

Husaini berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Amanat Naib Canselor sempena Minggu Mesra Mahasiswa (3M)  di sini, semalam.

Tambahnya, jika mahasiswa terlalu taksub dengan perkara yang tidak sepatutnya, mungkin mereka akan terlupa dengan tugas dan hasrat utama untuk mendapatkan ilmu sekali gus meneruskan kerjaya dan kehidupan.

"Anda semua datang ke sini kerana ibu bapa, sentiasa ingat kepada mereka, hargailah dan tunaikan harapan keduanya, apa- apa tindakan yang ingin dilakukan ingatlah dua insan berkenaan yang menyebabkan kita berada di sini.

Sementara itu, seramai 336 mahasiswa mendaftar masuk di UMK Kampus Jeli bermula semalam hingga hari ini melibatkan Fakulti Industri Asas Tani (FIAT), Fakulti Sains Bumi (FSB) dan Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT).