KOTA BHARU - Jabatan Imigresen Malaysia melancarkan skuad Cakna Bah sebagai persediaan untuk menjaga kebajikan anggota mereka sekiranya Kelantan dilanda banjir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penubuhan skuad itu tertumpu kepada empat kawasan yang sering dikenal pasti terlibat setiap kali banjir melanda negeri itu.

Menurutnya, skuad tersebut melibatkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Rantau Panjang, Bukit Bunga dan Pengkalan Kubor selain Depot Imigresen Tanah Merah.

“Kita sedar apabila tiba musim tengkujuh ada gelombang pertama, kedua dan sebagainya. Sebagai tanda siap siaga, Jabatan Imigresen khususnya di Kelantan dan pantai timur amnya telah mewujudkan skuad yang akan menjadi pro aktif menangani masalah banjir.

“Skuad ini berpusat di ibu pejabat tetapi penyampaiannya kepada kawasan yang sering mengalami banjir contohnya Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor. Di Bukit Bunga pun pernah hadapi banjir, di situ ada pejabat selain kuarters yang didiami anggota kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kejohanan Futsal Jasa Perwira Piala Ketua Pengarah Imigresen di Kota Bharu, hari ini. Hadir sama, Timbalan Ketua Pegarah (Pengurusan), Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Datuk Jaafar Mohamed.

Pada majlis itu, Mustafar turut menyampaikan kit yang mengandungi peralatan asas seperti jaket keselamatan, lampu suluh, kasut kalis air dan peti ubat kecemasan kepada wakil pegawai empat kawasan tersebut.

Menurutnya, dalam menghadapi situasi banjir, perkara pertama adalah memastikan anggota atau ahli keluarga mereka berada dalam keadaan selamat sama ada di rumah atau pun di tempat kerja.

“Di peringkat ibu pejabat, kita sentiasa memantau perkara ini dan memberi peringatan kepada pegawai bagi memastikan kepantasan jabatan dapat menyalurkan bantuan segera kepada mereka.

“Selain itu, kita juga bersyukur kerana KDN (Kementerian Dalam Negeri) sentiasa memberi peruntukan untuk penambahbaikan aset kita yang mengalami kerosakan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • GEORGETOWN - JKP Sdn Bhd (JKPSB), sebuah agensi kerajaan Persekutuan, mengesahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil beberapa dokumen bagi membantu siasatan berkaitan isu kepentingan dan pengurusan kewangan agensi itu.
  • KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu mengesahkan seramai 38 orang ditangkap bersabit kesalahan rasuah di Terengganu, sejak Januari sehingga kini.
  • KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih lagi menunggu Kerajaan Negeri Selangor untuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
  • ALOR SETAR - Adun Kota Darul Aman, Teoh Boon Kok tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah, selepas tuntutannya terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah tidak diendahkan.