PASIR MAS - Agenda memperkasakan lagi Islam di negeri ini menjadi teras utama BN Kelantan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat untuk mentadbir selepas PRU14 9 Mei nanti.

Setiausaha Umno negeri, Senator Datuk Hanafi Mamat berkata, perkara itu selaras dengan manifesto yang telah di umumkan oleh BN Kelantan semalam.

“Antara agenda utama yang kita akan bangunkan dalam memperkasakan Islam di Kelantan ialah dengan mewujudkan Universiti al-Quran.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan memperkemaskan lagi urus tadbir Yayasan Islam Kelantan (YIK) serta pengurusan pondok-pondok pengajian agama.

“Selain itu hospital khas untuk wanita juga akan diwujudkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama Pusat Daerah Mengundi (PDM) Banggol Stol di Meranti.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Pasir Mas, Nor Azmawi Abdul Rahman.

Hanafi berkata, ini adalah tawaran manifesto yang terbaik untuk rakyat Kelantan kerana ia bersifat lebih menyeluruh untuk lapisan semua masyarakat termasuklah aspek pembangunan.

Katanya, beliau berbangga apabila semua rakyat memberikan respons positif kepada perkara tersebut.

“Orang muda juga dilihat cukup selesa dengan manifesto ini, jadi saya berharap rakyat dapat memberikan peluang kepada BN untuk kembali mentadbir semula Kelantan pada penggal akan datang,” katanya.

Hanafi berkata, walaupun BN tidak mentadbir negeri ini namun parti itu berjaya mengotakan hampir 98 peratus perkara-perkara yang telah dijanjikan sebelum ini.

Katanya, bukti itu jelas menunjukkan komitmen BN dalam mengotakan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat.