MACHANG - Indeks jenayah menurun bukan tiket bersikap selesa dengan pencapaian diperoleh sebaliknya perlu menggandakan usaha untuk terus meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap polis.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Din Ahmad berkata, orang ramai menaruh harapan tinggi terhadap pasukan polis bagi memastikan keamanan dan keselamatan.

Menurutnya, polis perlu menyahut cabaran ini dan bersedia untuk berkhidmat kepada orang ramai secara profesional dan berintegriti tinggi.

“Apabila indeks menunjukkan penurunan, kita mahu rakyat benar-benar merasai kesannya apabila mereka tidak lagi bimbang keluar rumah atau berjalan ke mana sahaja. Kita tidak mahu, yang turun adalah angka namun rakyat gagal menikmati keselesaan dan kesejahteraan.

“Kita perlu peka kepada persepsi masyarakat dan tidak teragak-agak untuk melakukan terbaik serta berusaha perbaikinya dan mengukuhkan keyakinan orang ramai terhadap pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Dzulkifli Abdul Ghani di sini, hari ini.

Din berkata, secara keseluruhan, Kelantan mencatatkan penurunan indeks jenayah sebanyak 10.4 peratus atau 202 kes bermula Januari hingga semalam berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

“Bagi daerah Machang, penurunan sebanyak 20  peratus atau 20 kes berjaya direkodkan dalam tempoh yang sama,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Din turut menyampaikan surat penghargaan kepada 29 pegawai, anggota, orang awam dan petugas media  termasuk wartawan Sinar Harian atas komitmen bersama membanteras jenayah di daerah ini.