MACHANG - Seorang pengusaha ikan laga hiasan rugi lebih RM1,000 selepas ternakannya  hilang dalam kejadian curi di Kampung Batu 30, dekat sini, awal pagi tadi.

Mohd Hafiz Mustapa, 30, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu pada jam 7 pagi ketika hendak memberi makanan kepada haiwan tersebut.

Katanya, dia mula mengusahakan penternakan ikan laga hiasan atau lebih dikenali ' ike karing' di kalangan penduduk tempatan sejak awal tahun lalu dengan melibatkan pelbagai di tepi rumahnya.

"Lebih 100 ekor ikan hilang pada kejadian ini dan saya percaya, kejadian berlaku pada awal pagi  antara jam 1-2 pagi dan saya langsung tidak menyedarinya sekalipun berada di rumah.

"Pencuri bukan sekadar mencuri ikan yang mempunyai harga yang tinggi tetapi turut mengambil dedak ikan. Pagi tadi, saya lihat botol-botol ikan berterabur dan hanya beberapa ekor yang tinggal," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Hafiz berkata, selain menternak, dia juga mengusahakan pembiakan ikan tersebut dan menjadi pembekal ikan laga hiasan itu secara kecil-kecilan dari rumahnya.

Katanya, pihaknya telah membuat laporan polis mengenai kejadian itu dan menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak berkuasa.

Tambahnya, dia memohon kerjasama orang ramai yang melihat  atau mengetahui ada jualan murah melibatkan ikan laga hiasan di sekitar daerah ini agar memaklumkan kepadanya di talian 011-12990336 atau balai polis terdekat.