RANTAU PANJANG – Walaupun lumpuh, namun seorang ibu di sini sentiasa risaukan keperluan anaknya yang menghidap gangguan emosi di Kampung Lorong Nik Jusoh Rantau Panjang.

Che Esah Che Ibrahim, 81, berkata, sebelum ini, dia menoreh getah untuk tampung keperluan anaknya, Mohd Nasir Md Yusof, 49, dengan bantuan anak-anak yang lain.

Che Esah berkata, Mohd Nasir terpaksa bergantung kepada pengambilan ubat khas kerana tanpa ubat itu dia mungkin bertindak agresif dan mencederakan diri sendiri.

Bagaimanapun menurutnya, anaknya tidak pernah mengganggu penduduk kampung.

“Saya hanya sedar perubahan sikap Nasir ketika dia berusia 12 tahun. Masa itu, dia tak nak ke sekolah dan lari keliling kampung kerana katanya ada orang nak bunuh dia.

“Selepas periksa di hospital, barulah kami tahu dia mengalami masalah kesihatan dan emosinya terganggu,” katanya.

Che Esah berkata, ekoran kejadian itu, Mohd Nasir tidak lagi ke sekolah dan mula menyendiri di dalam bilik.

Tambahnya, sikap anaknya itu kekal sehingga ke hari ini malah dia akan mengurung dalam bilik jika ada saudara mara datang ke rumah.

Dalam pada itu, Che Esah berkata, dia lumpuh dari paras pinggang ke kaki selepas terjatuh ketika menunggang motosikal, Jun lalu.

“Bukan itu saja, ketika dirawat di hospital, saya disyaki menghidap kanser ovari dan penyakit buah pinggang.

“Sebelum ini, saya selalu rasa sakit perut tapi disebabkan takut buat pemeriksaan, saya biarkan saja. Tak sangka pula ini petanda saya mungkin menghidap barah,” katanya.

Dia berkata, kesulitan dihadapi juga menyebabkan empat daripada tujuh anaknya tidak berkahwin.

“Kini keperluan kami ditangggung anak sulung (Mohd Razali Md Yusof, 56) yang kerja buruh selain dibantu anak-anak lain.

“Anak kelima saya juga berhenti kerja kerana perlu jaga saya dan Nasir,” katanya.

Che Esah ditemui ketika menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Bandar Rantau Panjang, Kamarudin Mustafa di rumahnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JERANTUT - Bukan sahaja dilahirkan tidak cukup bulan, malah turut menghidap masalah tempurung kepala sempit dan kecederaan otak.
  • PASIR MAS - Seorang pemuda menawarkan perkhidmatan kereta percuma untuk golongan kurang berkemampuan berulang alik ke hospital atau klinik bagi mendapatkan rawatan.
  • KOTA BHARU - Tiga beradik yang menjadi yatim piatu setelah ibu bapa mereka dibunuh November tahun lalu sehingga kini mendakwa belum menerima sebarang bantuan.
  • BACHOK - Sambutan Tahun Baharu Cina suram sejak beberapa tahun lalu apabila salah seorang ahli keluarga mereka terlantar akibat sakit tibi yang menyerang otak.
  • BACHOK - “Dahulu saya bersama suami, dua anak dan datuk tinggal dalam ‘kepok padi’ (stor tradisional menyimpan beras) yang hampir roboh, namun kini kami dapat tinggal di rumah baru yang selesa,” luah Suraya Rosli, 29.