TANAH MERAH - Ibu kepada remaja putus kaki akibat motosikal terbabas dalam kejadian Khamis lalu, Me Kelsom Awang Kechik, 44, buntu memikirkan masa depan anak bongsunya yang terpaksa meneruskan kehidupan tidak seperti remaja lain.

Sebelum ini, Mohamad Ashyraf Mohamad Zuki, 13, agak aktif bersukan dan amat meminati sukan bola sepak, namun selepas ini dia mungkin terpaksa melupakan minatnya itu.

“Buat masa ini, saya masih buntu dengan keadaannya apabila dalam sekelip mata dia menjadi OKU. Biarlah dia pulih dahulu sebelum fikirkan cara terbaik untuk dirinya meneruskan kehidupan.

“Dia dah sedar, cuma matanya yang memberi respons kepada kami. Dia belum bercakap buat masa ini, doktor pun nasihatkan dia supaya berehat dengan dipantau rapi di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tanah Merah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Me Kelsom berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ada melawat keluarganya dan akan menyalurkan bantuan dalam masa terdekat kepada Mohamad Ashyraf.

Sementara itu, bapa tiri mangsa, Arifin Mat Nor, 59, berkata, dia mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang ingin menyalurkan bantuan kaki palsu kepada anaknya itu bagi memudahkannya bergerak.

“Kecederaan fizikal dia boleh sembuh, cuma pada peringkat awal ini dia memerlukan sokongan bagi memulihkan semangatnya dahulu.

“Doktor kata buat masa ini dia masih diberi ubat tahan sakit untuk meredakan kesakitan. Cuma saya harap dia kembali bersemangat seperti dahulu dan mampu bersekolah seperti biasa biarpun sudah hilang satu daripada nikmat-Nya,” katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa berhajat untuk bertemu dan makan durian bersama bapa kandungnya, Mohamad Zuki Salleh, 56.

Namun niatnya itu tidak kesampaian apabila terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan kaki kirinya putus sehingga pangkal paha di Jalan Batu Gajah di sini.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, motosikal jenis Demak yang ditunggang terbabas sendiri sebelum merempuh besi pengadang jalan.

[ ARTIKEL BERKAITAN:  Hajat makan durian tidak kesampaian ]

[ ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar Tingkatan 1 putus kaki kiri ]