TANAH MERAH - Hampir 100 penduduk menyertai program Malaysia #QuranHour anjuran Pejabat Umno Dun Kemahang di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Batang Merbau, dekat sini, hari ini.

Lebih menarik, program Malaysia #QuranHour yang julung kali diadakan di peringkat Dun itu berlangsung dalam suasana santai di bawah sebatang pokok besar di tepi padang berkenaan.

Program bermula dengan tazkirah agama disampaikan Pengelola Penggerak Masyarakat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Azmi Ismail dan Pengerusi Biro Agama Umno bahagian ini, Nik Zain Nik Soh.

Acara kemudian diteruskan dengan bacaan al-Quran selama satu jam sempena program Malaysia #QuranHour yang turut diadakan serentak oleh pelbagai pihak di seluruh negara.

Peserta terdiri dalam kalangan guru Kelas Asas Fardu Ain (Kafa), Penggerak Masyarakat serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Dun itu.

Turut serta Pengarah Dun Kemahang, Baharudin Yusoff dan Pentadbir Mukim Dun berkenaan, Mohd Norizan Mustafa.

Sepanjang satu jam program itu berlangsung, seramai 30 peserta membaca satu juzuk al-Quran seorang, manakala selebihnya membaca ayat-ayat suci pilihan masing-masing.

Program tamat jam 1 tengah hari itu diakhiri dengan bacaan doa dan penyampaian juadah berbuka puasa sumbangan Baharudin untuk semua peserta.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.