MACHANG -  Hakisan bukit yang menyumbang kepada banjir lumpur meresahkan 12 keluarga di  Taman Desa Ilmu, Kampung Banggol Judah, di sini setiap kali hujan lebat.

Dakwa mereka, kejadian tersebut telah berlaku beberapa kali namun bertambah buruk pada hari Khamis dan Jumaat yang lalu apabila pekarangan rumah masing-masing dipenuhi lumpur sedalam dua inci.

Penduduk, Mohd Azuan Ibrahim,37 berkata, kejadian tersebut berpunca daripada hakisan bukit di kawasan berdekatan, Bukit  Blok Muka Bukit yang dibangunkan sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, kejadian itu membimbangkan penduduk terutamanya yang tinggal di lereng bukit dan berharap pihak berkenaan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

Tambahnya, ketika kejadian pada Jumaat lalu, dia dan keluarga tiada di rumah dan hanya menyedari kejadian itu pada keesokannya.

"Pekarangan rumah saya termasuk longkang dipenuhi lumpur sekaligus memaksa kami bertungkus lumus mencucinya. Mujurlah tidak masuk ke dalam rumah.

"Kalau dibiarkan berterusan, kami bimbang keadaan akan bertambah teruk dan air masuk ke dalam rumah. Kami juga bimbang, batu-batu besar  di atas bukit itu akan menghempap rumah berdekatan jika hakisan ini  tidak ditangani segera," katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.