KOTA BHARU - "Arwah bercadang nak berpindah ke rumah baru selepas hari Raya Aidilfitri nanti, namun hajatnya tidak sampai," kata bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Izani yang maut dalam kemalangan jalan raya di sempadan daerah Machang-Tanah Merah di sini semalam.

Menurut bapanya, Mohd Yusof Abdullah, 67, anaknya serta isteri, Mulyani Musa, 36,  dipercayai dalam perjalanan pulang ke Kuala Krai selepas membeli barangan mozek untuk kediaman baharu di Kampung Kandis, Gaal Pasir Puteh.

"Ketika dalam perjalanan pulang dia teribat dalam kemalangan dan pakcik mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira jam 6 petang dari anggota polis yang juga rakan anak melalui panggilan telefon.

"Memang pakcik terkejut dan tidak sangka kejadian ini menimpa anak sulung pakcik, " katanya kepada media ketika ditemui di kediamannya di Dewan Beta, di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata, dua hari sebelum kejadian arwah tidak menunjukkan sebarang petanda dan dia sempat bertemu anak sulungnya itu di kediamannya di Kuala Krai.

"Arwah orang yang baik dan peramah.  Dia juga rapat dengan keluarga dan sering pulang ke rumah saya di Dewan Beta untuk menjenguk keluarga.

"Apa pun kami terima dengan reda dan kini saya turut menjaga anak-anak arwah berusia antara 4 bulan sehingga 11 tahun untuk sementara waktu. " katanya.

Dalam kejadian petang kelmarin,  anggota polis cawangan trafik setta seorang lagi penunggang maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua motosikal di sempadan daerah ini dan Machang di Jambatan Kusial.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang, mangsa, Ahmad Izani dari Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Krai dan penunggang sebuah lagi motosikal maut di tempat kejadian.

Isteri Ahmad Izani, Mulyani Musa yang merupakan seorang jururawat di Hospital Kuala Krai yang cedera parah telah dibawa pulang ke Dewan Beta dan sempat melihat jenazah suaminya buat kali terkahir sebelum dikebumikan.