PASIR MAS - Pengorbanan seorang guru yang bertungkus lumus mengecat bilik darjah, bagi membolehkan murid-muridnya menyertai pertandingan kebersihan dan keceriaan peringkat sekolah telah mengubah keseluruhan hidupnya.

Nik Muhammad Yusrizal Kamaruzaman, 36, yang sebelum itu bertugas di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Indah, Ampang kini lumpuh dan hilang upaya sepenuhnya sejak tujuh bulan lalu.

Semua ini berlaku apabila Nik Muhammad Yusrizal diserang asma selepas menyelesaikan kerja-kerja mengecat di sekolah yang menyebabkan dia rebah.

Ekoran kejadian itu, Nik Muhammad Yusrizal koma selama dua bulan menyebabkan dia lumpuh dan hilang upaya.

Ibunya, Tuan Nor Azizah Tuan Mat, 61, berkata, selepas kejadian itu anaknya banyak menghabiskan masa  terlantar di atas katil.

"Disebabkan itu saya memerlukan perbelanjaan kira-kira RM2,000 sebulan untuk menguruskan kehidupannya.

"Nik Muhammad Yusrizal bergantung sepenuhnya kepada susu untuk meneruskan hidup yang merupakan sumber utama tenaganya.

"Satu tin susu yang bernilai RM85 itu hanya mampu bertahan selama tiga hari sahaja dan Nik Muhammad Yusrizal perlu minum setiap empat jam sekali," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Landar, Kasar di sini.

Terdahulu, Tuan Azizah menerima kunjungan dari Persatuan Prihatin Rakyat Kelantan (Prikel) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pasir Mas.

Menurutnya, selain susu anak kedua daripada empat beradik itu perlu memakai lampin pakai buang setiap masa dan semua itu memerlukan perbelanjaan besar.

Katanya, Nik Muhammad Yusrizal menghidap penyakit asma kronik itu sejak kecil lagi dan tidak boleh terdedah kepada habuk dan debu-debu.

Mengimbau semula kejadian itu, Tuan Nor Azizah berkata, pada 24 Mac lalu dia menerima panggilan dari salah seorang anaknya yang memberitahu Nik Muhammad Yusrizal telah koma dan berada di dalam Unit Rawatan Rapi (ICU).

Katanya, Nik Muhammad Yusrizal dirawat selama dua bulan di ICU sebelum dibawa pulang ke rumah pada Ramadan lalu.

"Sejak hari itu saya hanya berkomunikasi menggunakan isyarat mata dengan Nik Muhammad Yusrizal.

"Dia akan kerdipkan mata sebagai tanda memahami apa yang saya ingin sampaikan," katanya.

Tuan Nor Azizah berkata, ketika ini isteri Nik Muhammad Yusrizal yang berkerja sebagai guru berada di Kuala Lumpur bersama anaknya berusia 12 tahun.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank milik Tuan Nor Azizah 153010349681.