GUA MUSANG - Seramai 18 guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai, termasuk penyelia asrama dan penghantar makanan ke kantin sekolah bermalam di hutan ekoran kenderaan yang mereka naiki terkandas di Bukit Remau.

Jarak antara Bukit Remau ke sekolah berkenaan kira-kira 10 kilometer (km) di mana ia merupakan kawasan hutan tebal dan terkenal dengan laluan harimau.

Menurut guru, Muhamad Zailani Deraman, 34, mereka tiada pilihan lain selain dari bermalam di hutan apabila kenderaan tidak dapat ditunda kerana jalan rosak teruk.

Katanya, mereka berusaha menolak dan memasang rantai besi di tayar pacuan empat roda namun tidak berhasil kerana selut tebal dan hujan.

"Kami tiada pilihan dan terpaksa bermalam di hutan. Walaupun ramai, kami memang takut kerana ada penduduk Orang Asli memberitahu, kawasan itu adalah laluan harimau. Sebab itulah dinamakan Bukit Remau.

"Namun, kami hanya tawakal dan saling berjaga-jaga. Sebelum ini, saya tidak pernah berdepan situasi itu namun penemuan tapak kaki gajah itu sudah biasa," katanya lagi.

Tambahnya, pada jam 7.45 pagi keesokannya, mereka sepakat untuk berjalan kaki ke sekolah dan mengambil masa selama tiga jam untuk sampai ke destinasi.

"Kami perlu menyeberangi Sungai Bayur dan laluan berselut juga. Memang mencabar minda namun kembara tetap diteruskan demi pelajaran murid Orang Asli.

"Sepanjang tempoh itu, kami tidak mandi dan hanya berhenti rehat seketika dengan makan bekalan yang ada. Alhamdulillah, bila tiba di sekolah memang lega dan ini merupakan kembara yang paling mencabar sepanjang berkhidmat di sekolah pedalaman ini," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :