JELI - Graduan Politeknik Jeli boleh dikatakan antara yang menjadi rebutan apabila mencapai tahap kebolehpasaran yang tinggi berbanding politeknik lain di negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof Datuk Dr Mohd Ismail Abd Aziz berkata, tahap kebolehpasaran kebangsaan graduan politeknik tahun lalu sebanyak 94.5 peratus berbanding 87 peratus pada 2016.

“Sentiasa meningkat, tapi Politeknik Jeli lagi hebat dari pencapaian di peringkat nasional apabila 97 peratus graduan di sini mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Ini membuktikan bahawa kita melahirkan graduan yang tepat serta mampu memenuhi keperluan industri dan pasaran,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bidang pengajian diambil graduan Politeknik Jeli adalah bidang yang menyokong kepada keselamatan, kesediaan dan kesiapsiagaan hasil makanan negara.

“Kita tak boleh selamanya bergantung kepada sumber makanan yang diimport. Jadi graduan dilahirkan inilah yang akan menggunakan teknologi untuk membantu meningkatkan pengeluaran makanan bagi memenuhi keperluan negara, mereka memang hebat,” katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan isu gaji permulaan yang agak rendah, namun ia tidak berpanjangan apabila selepas tiga tahun graduan politeknik mampu mendapat pendapatan setanding graduan universiti.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Mohd Ismail berkata, pihaknya menyambut baik usaha memperkasakan TVET dalam rangka memastikan pengajian di politeknik sentiasa relevan dengan industri.

“Di Politeknik kita memang bersedia untuk aplikasikan sistem TVET, pelajar politeknik memang tak ada masalah untuk itu,” katanya.

Seramai 231 graduan Diploma Agroteknologi dan Diploma Akuakultur sesi Disember 2016 dan Jun 2017 menerima sijil masing-masing sempena Majlis Konvokesyen Ke- 5 Politeknik Jeli, hari ini.