Kerjaya hebat dengan gaji lumayan sudah tentu diimpikan setiap graduan sebaik melangkah keluar dari kampus, namun berlainan pula jalan dipilih Mohd Iqbal Johari, 29.

Bagi lepasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu, dia tidak malu mengusahakan arang tempurung untuk dibekalkan ke kilang-kilang, kerjaya yang jauh berbeza daripada bidang kaunseling diceburinya ketika di universiti.

Mohd Iqbal berkata, dia bersama saudaranya, Rozan Abdul Rahman, 39, memulakan usaha itu di Kampung Lembah, Semerak dekat sini, sejak tiga bulan lalu.

Katanya, tempurung dibeli daripada orang ramai di daerah ini dan Besut untuk dibakar menjadi arang.

“Kita membakarnya di dalam tong dengan meletakkan sedikit ‘umpan’ api di bahagian bawahnya, tempurung dimasukkan ke tong dan dibiarkan membara dengan sendiri.

“Tidak boleh dibakar dengan api, cukup dengan bara sahaja, tempurung yang dibakar dikeluarkan untuk disejukkan,” katanya.

Selepas itu katanya, arang itu diayak untuk memisahkan debu, arang itu dijual dengan harga RM1.10 sekilogram kepada kilang memproses produk penyerap bau.

Mohd Iqbal berkata, abu hasil ayakan turut dijual untuk penghasilan pelbagai produk seperti bahan pemutih gigi, bahan dalam alat penapis air, baja dan tanah media untuk tanaman.

“Arang tempurung kelapa diiktiraf sebagai arang terbaik, abunya juga  digunakan untuk pelbagai produk termasuk menghasilkan kuih kerbau guling.

“Prospek semakin baik apabila syarikat pembuatan dari Eropah dan Asia Tengah bersetuju untuk membelinya,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah berbincang dengan beberapa pihak untuk mewujudkan kilang menghasilkan produk dari bahan terbabit di Semerak.

“Saya melihat projek ini bukan dari sudut menjana ekonomi semata-mata, ia lebih kepada memanfaatkan bahan terbuang, lebih baik kita menghasilkan produk mesra alam,” katanya.