PASIR MAS - Geng Tok Uban yang memecah masuk dan melarikan alat ganti dari sebuah bengkel di Tok Uban di sini tumpas apabila kegiatan haram mereka itu berjaya di cekup polis.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, kegiatan yang didalangi oleh tiga lelaki berusia antara 23 hingga 36 tahun itu menggunakan modus operandi mencuri, menyimpan dan menjual.

"Menariknya, ia dilakukan oleh tiga individu berbeza yang memainkan peranan masing-masing hasil siasatan dijalankan ke atas mereka," katanya.

Menurutnya, semua suspek itu ditahan pada jam 5.30 petang, 29 November lalu di Tok Uban.

Katanya, suspek pertama berusia 23 tahun telah bertindak memecah masuk bengkel dan melarikan semua barang curi dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora pada awal pagi 26 November lalu.

"Suspek pertama kemudian bertindak menyerahkan barangan tersebut kepada suspek kedua berusia 36 tahun untuk disembunyikan.

“Selepas beberapa hari disimpan di rumahnya di Tok Uban, barang tersebut kemudian diserahkan kepada suspek ketiga untuk dijual di kedainya di Gua Musang,” katanya.