KOTA BHARU - Cubaan seorang penunggang motosikal meloloskan diri dari sekatan jalan raya di Jalan Hamzah, di sini, semalam, membongkar penemuan sembilan pil eramin 5 dalam milikannya sejurus ditahan.  

Suspek berusia 21 tahun ditahan dalam Ops Limau oleh sekumpulan anggota diketuai Ketua Polis Balai Kota Bharu, Asisten Superintendan Hasbullah Noor. bermula jam 10 hingga 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, sebaik menyedari ada sekatan jalan raya, suspek cuba melarikan diri dengan menunggang melawan arus, namun berjaya ditahan selepas pergelutan.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai pil-pil berkenaan di dalam poket seluar yang dipakai.

"Sehubungan itu, suspek ditahan bagi membantu siastan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, operasi turut dijalankan di Bunut Payong dan empat lagi lelaki berusia antara 23 dan 35 tahun ditahan bersabit pelbagai kesalahan dadah dikedua-dua operasi itu.

"Seramai 112 individu iaitu 105 lelaki dan 17 wanita dibawa ke Balai Kota Bharu untuk proses dokumentasi dan dibuat ujian saringan air kencing.

"Rata-rata yang diperiksa adalah lelaki dan wanita yang berumur antara 15 - 37 tahun," katanya.

Beliau berkata, lima yang ditahan itu dipercayai terbabit dengan pelbagai kesalahan termasuk positif dadah jenis metamphetamine.

"Seorang yang ditahan adalah lelaki berusia 23 tahun yang memiliki sebungkusan plastik berisi air ketum seberat sekilogram.

"Empat daripada lima yang ditahan didapati positif dadah dan mereka akan direman bagi membantu siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.