GUA MUSANG - Hampir 10 penyewa premis termasuk kedai makan di bersebelahan tapak pasar malam Chiku 3, di sini terpaksa menghidu air najis yang melimpah dalam tempoh dua tahun.

Bukan sahaja terpaksa menghidu bau busuk, malah mereka juga terpaksa membersihkan longkang bagi mengelakkan air najis itu bertakung.

Salah seorang penyewa premis kedai makan, Fauzi Daud, 51, dengan situasi itu, dia tidak mampu menarik pelanggan untuk ke kedainya kerana bau yang cukup busuk.

“Saya meniaga makanan, jadi pelanggan sudah tentu tak selesa dengan bau yang tak menyenangkan ini. Setiap hari, sebelum buka kedai, saya kena bersihkan longkang dulu.

Fauzi membersihkan longkang setiap hari bagi mengurangkan bau busuk di kawasan kedainya.

“Kalau tak sapu, air akan bertakung dan bau itu amat mengganggu. Saya dan isteri terpaksa sapu air najis itu ke kawasan hujung longkang.

“Masalah ini akan lebih buruk bila hujan lebat sebab air akan melimpah keluar dan kami perlu bersihkannya berulang kali,” katanya lagi.

Bagi penyewa kedai jahit, Bakri Abdullah, 45, dia pernah membuat aduan kepada Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) mengenai perkara ini, namun tiada jalan penyelesaian.

“Bila kita buat aduan, anggota akan turun dan sapu longkang, selepas itu jadi semula situasi yang sama. Seeloknya, loji ini dipindahkan ke kawasan belakang.

“Tandas juga tak sesuai berada di situ kerana ia bersebelahan premis makanan. Loji ini perlu dilupuskan dan buat semula di kawasan yang sesuai.

“Secara tidak langsung, ia tidak mengganggu peniaga seperti kami dalam mencari rezeki,” katanya lagi.