JELI - Dua gajah jantan yang berjaya ditangkap Jabatan Perhilitan di sini semalam merupakan tangkapan pertama di Kelantan untuk tahun ini.

Pengarah Perhilitan negeri, Mohd Hasdi Husin berkata, kedua- dua gajah jantan berkenaan ditangkap dalam satu operasi dijalankan lima kakitangan Jabatan Perhilitan Jeli yang diketuai Penolong Pegawai Perhilitan Daerah, Mohd Ismail Awang.

"Kita terima aduan sekitar jam 11 pagi. Jam 2.30 petang operasi dimulakan dan berjaya menangkap kedua- dua gajah berkenaan.

"Alhamdulillah, agak cepat apabila jam 6 petang kita berjaya selesaikan semuanya, " katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.

Menurutnya, kedua- dua gajah berkenaan dengan saiz tapak kaki 14 dan 15 inci itu akan kita pindahkan dalam masa terdekat.

"Kita dah berhubung dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang untuk tujuan pemindahan tersebut, " katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Gunung Reng, Aidi Ab Rahman berkata, penangkapan kedua- dua ekor gajah seberat 1, 400 dan 1, 500 kilogram itu dijangka dapat membantu meredakan ancaman gajah yang agak membimbangkan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, beliau berharap ancaman- ancaman yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan akan dapat diatasi sebaiknya sekali gus mengurangkan kadar kerugian terpaksa dihadapi mereka.

"Kita sedar, untuk selesaikan ancaman gajah yang saban tahun terpaksa dihadapi penduduk di sini bukan perkara mudah. Tapi tidak mustahil dengan adanya kerjasama semua pihak, " katanya.