KOTA BHARU - Hanya makan nasi berlaukkan budu, itulah yang hanya mampu dinikmati dua beranak bagi meneruskan sisa kehidupan mereka ekoran tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Bukan sahaja terpaksa makan makanan seumpama itu, malah lebih menyatat hati keluarga ini juga tinggal dalam kediaman yang begitu sempit dengan ruang yang sangat terhad. Di kawasan sempit itulah dua beranak ini menggunakan ruang yang ada sebagai  kawasan dapur untuk memasak, ruang tidur dan disitulah juga dua beranak ini berehat.

Namun kediaman pusaka itulah yang menjadi tempat mereka berdua berteduh. Biarpun rumah yang didiami sejak 10 tahun lalu itu banyak kerosakan dan sebahagian atapnya juga sudahpun bocor, mereka tiada pilihan.

Menurut Wan Rahana Wan Hasan, 52, dia tidak mampu bekerja ekoran terpaksa menjaga anaknya yang lembam dan hanya menghabiskan masa di rumah.

“Perbelanjaan seharian kami hanya bergantung sepenuhnya pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Lagipun bantuan itu hanya RM120 sebulan dan saya perlu berjimat untuk menanggung perbelanjaan kami.

“Kalau ada pun saya hanya mampu beli seekor ikan itupun jika ada lebihan belanja memandangkan kini kos berbelanja pun mahal,” katanya ketika ditemui di keiamannya di Kampung Gutong, Limbat di sini.

Rahana berkata, dia mengharapkan agar bantuan OKU untuk anaknya dapat ditambah ekoran perbelanjaan mereka berdua tidak mencukupi lagipun segala tugas menjaga dan menguruskan anaknya digalas sepenuhnya oleh Rahana setelah berpisah dengan suami.

“Kami tidak mampu menikmati hidangan mewah dan terpaksa catu makanan dan pernah juga kami kehabisan wang. Mujurlah ada kejiranan sepempat yang datang membantu dan turut menghulurkan sumbangan beras untuk kami dua beranak.

“Harapan saya agar kehidupan kami lebih baik dan ada pihak yang sudi membantu ekoran kami tidak mampu tinggal dan menyewa di kawasan lain ekoran kekangan perbelanjaan dan inilah rumah pusaka keluarga," katanya.

Sementara itu, Pentadbir Mukim Dun Pasir Tumboh, Wan Azizi Wan Ab Ghani yang ditemui turut meluangkan masa melawat keluarga itu berkata, pihaknya akan cuba menyelesaikan masalah dua beranak itu.

"Kita juga akan merujuk kepada JKM bagi menaikkan jumlah bantuan yang diterima mengikut kesesuaian dengan tanggungan mereka.

“Selain itu saya juga akan rujuk perkara ini kepada pihak Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) untuk tindakan susulan,” katanya.